X
Rabu, 18 March 2020 | 4:27pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto BERNAMA
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto BERNAMA

Kabinet perhalusi RUU IPCMC

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini memutuskan untuk meneliti dan memperhalusi status Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata RUU IPCMC itu akan diteliti dan diperhalusi oleh beliau dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Hasil perbincangannya akan dibawa ke peringkat Kluster Keselamatan yang dipengerusikan Menteri Pertahanan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet (semula) untuk diputuskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan terdahulu diterajui Pakatan Harapan bercadang menubuhkan IPCMC bagi menguruskan isu berkaitan salah guna kuasa oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penubuhan IPCMC bertujuan melakukan siasatan bebas terhadap aduan berkaitan pasukan keselamatan itu.

Bagaimanapun, cadangan itu menimbulkan kontroversi apabila dibantah beberapa pihak berkaitan pasukan keselamatan itu.

IPCMC bakal menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan berperanan menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku polis.

Bagaimanapun, bacaan kali kedua dan ketiga bagi RUU IPCMC di Dewan Rakyat ditangguhkan untuk diperhalusi.

Pada 7 Oktober tahun lalu, Dewan Rakyat menetapkan supaya RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperincikan lagi kandungannya, termasuk beberapa pindaan yang dicadangkan bagi tujuan penambahbaikan.

Berita Harian X