Rabu, 18 March 2020 | 6:40pm
DUTA Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahaya.
DUTA Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahaya.

COVID-19: 140 warga Malaysia di Iran, Itali dibawa balik Sabtu dan Ahad

KUALA LUMPUR: Seramai 48 rakyat Malaysia di Iran dan 92 orang di Itali dijadual dibawa pulang ke tanah air pada Sabtu dan Ahad ini, susulan situasi semasa penularan COVID-19 di kedua-dua negara terbabit ketika ini.

Seramai 48 warga Malaysia di Iran akan dibawa pulang menaiki pesawat AirAsia, manakala penerbangan bagi 92 daripada 323 orang di Itali masih belum dimuktamadkan dengan perkara itu kini dalam perbincangan di peringkat akhir.

Perkara itu diumumkan Duta Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahaya dan Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Malik Melvin Castelino dalam temu bual eksklusif pada Program Borak Balai Berita NSTP, hari ini.

Rustam berkata, penerbangan membawa balik warga Malaysia di Iran itu sudah mendapat kelulusan Wisma Putra, selain kumpulan rakyat terbabit sudah diberi penerangan mengenai prosedur perlu dilalui, sejurus tiba di tanah air.

Katanya, saringan kesihatan ke atas rakyat Malaysia menetap di Tehran, Iran sudah dilakukan dan mereka disahkan negatif COVID-19, manakala kumpulan yang mendiami di luar kawasan itu akan menjalani ujian sama beberapa hari sebelum menaiki pesawat.

"Setakat ini tiada warga Malaysia di Iran yang enggan dibawa pulang ke tanah air memandangkan keadaan serius di negara ini, selain sentiasa menghubungi mereka dari semasa ke semasa untuk memantau sebarang perkembangan.

"Beberapa rakyat Malaysia sudah mendiami rumah kakitangan kedutaan ketika ini, manakala 12 orang lagi yang juga pelajar akan menetap di rumah saya sebelum dibawa pulang ke tanah air. Kita akan beri taklimat dan menjalankan saringan ke atas mereka sekali lagi, esok.

"Kerajaan Iran juga sangat membantu dalam urusan membawa pulang rakyat Malaysia, selain menyediakan laluan khas bagi kumpulan terbabit untuk mengelak daripada bercampur dengan penumpang lain ketika hendak menaiki pesawat nanti," katanya.

Sementara itu, Malik berharap semua warga Malaysia di Itali yang mahu pulang ke tanah air untuk segera berdaftar kerana prosedur itu hanya akan dijalankan sekali sahaja.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X