Khamis, 19 March 2020 | 8:40am
Pekerja restoran makanan segera melakukan pembersihan rutin dengan mengelap skrin pesanan yang digunakan para pelanggan menggunakan cecair pembasmi kuman susulan penularan COVID-19 di negara ini. - Foto BERNAMA
Pekerja restoran makanan segera melakukan pembersihan rutin dengan mengelap skrin pesanan yang digunakan para pelanggan menggunakan cecair pembasmi kuman susulan penularan COVID-19 di negara ini. - Foto BERNAMA

COVID-19: Bekerja dari rumah ada kelebihan, kelemahan

SHAH ALAM: Arahan bekerja dari rumah yang dilaksanakan sektor awam dan swasta selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 bermula semalam sehingga 31 Mac dilihat mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri.

Tinjauan Bernama mendapati, ada dalam kalangan pekerja pernah diarahkan bekerja dari rumah oleh majikan sebelum ini namun terdapat pekerja yang pertama kali melalui pengalaman sedemikian.

Seorang pekerja syarikat perkhidmatan perkapalan di Klang, Nurnasha Edrinanieza Mohammed, 24, berkata bekerja dari rumah bukan perkara baharu baginya namun tempoh masa dua minggu yang diarahkan kerajaan mungkin ‘mengganggu’ sedikit proses kerjanya.

“Majikan memang menyokong penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan itu dan membenarkan saya membawa pulang komputer riba bagi melicinkan proses kerja.

“Namun, apa yang sukar adalah apabila mesyuarat terpaksa dilakukan secara dalam talian.

“Pada saya, ini dilihat kurang efektif kerana ada beberapa perkara yang kita perlu berbincang secara bersemuka. Namun, demi mengekang penularan wabak, kita kena akur,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Pereka grafik swasta di Shah Alam, Muhammad Wahyu Mohd Aini, 25, berkata walaupun teruja kali pertama bekerja dari rumah namun khuathir tumpuannya pada kerja boleh terganggu.

"Pada pendapat saya, bekerja dari rumah ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya. Kelebihannya sudah pasti saya tidak perlu tergesa-gesa bersiap untuk ke tempat kerja.

“Namun kelemahannya adalah disiplin kerja tidak sama seperti di pejabat kerana apabila di rumah, banyak benda boleh mengganggu. Jadi, terpulang kepada diri sendiri untuk menjalankan amanah syarikat," katanya.

Lain pula pendapat seorang pekerja syarikat perisian komputer di Bukit Tinggi, Klang, Farhan Rahim, 24, yang melihat selain arahan bekerja dari rumah dapat mengekang penularan COVID-19, ia juga boleh menjimatkan perbelanjaan serta kos pengangkutan.

Sungguhpun begitu, katanya, tugasan kerja harian mesti disempurnakan sebaiknya kerana syarikat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada setiap pekerjanya.

“Segala tugasan telah diberikan oleh syarikat sehingga tempoh perintah kawalan itu tamat dan mereka akan mengemas kini perjalanan kerja seluruh kakitangan.

“Jika ada mesyuarat yang dijadualkan, ia akan dibuat secara atas talian namun pada pendapat saya, ada sesetengah perkara lebih mudah diterangkan secara berhadapan," katanya.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa semalam sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Perintah kawalan yang dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Menerusi perintah kawalan itu, semua premis kerajaan dan swasta ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services). - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X