X
Khamis, 19 March 2020 | 12:19pm

COVID-19: Soalan lazim Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan soalan lazim kepada industri dan sektor perkilangan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan.

1. Apakah industri kritikal / kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan?

Hanya industri kritikal dan kilang terpilih saja yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, tertakluk kepada kelulusan MITI.

2. Adakah terdapat kelulusan atau prosedur khas yang diperlukan untuk kilang beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan?

Ya, syarikat mesti memohon kelulusan khas untuk meneruskan operasi kilang semasa Perintah Kawalan Pergerakan dengan menggunakan borang yang boleh dimuat turun di www.miti.gov.my dan diserahkan kembali kepada [email protected]. Syarikat yang diluluskan akan diberi Surat Kelulusan oleh MITI untuk beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan.

3. Bolehkah syarikat yang menghasilkan produk-produk yang tidak tersenarai membuat rayuan untuk beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan?

Tidak. Hanya syarikat yang telah diluluskan sahaja dibenarkan untuk beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan. Langkah ini adalah penting untuk memastikan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan. Dalam situasi di mana mesin dan peralatan kilang perlu terus beroperasi atas sebab teknikal, kilang-kilang boleh meneruskan operasi mesin-mesin berkenaan dengan pengawasan juruteknik yang minimum. Permohonan bagi perkara ini boleh dikemukakan kepada MITI.

4. Bolehkah syarikat dan kilang yang diluluskan beroperasi sepenuh masa sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan?

Tidak. Hanya produksi pembuatan yang perlu sahaja dibenarkan untuk beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan. Sebarang aktiviti yang tidak kritikal perlu diberhentikan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

5. Bolehkah syarikat memohon pengesahan Perakuan Tempasal (COO) sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan?

Boleh. Permohonan pengesahan COO masih boleh dilakukan di Tingkat 2, Menara MITI dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai COO boleh dihantar melalui e-mel kepada [email protected].

6. Bolehkah syarikat mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Sijil Tempasal Berkeutamaan (PCO) di bawah skim Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)?

Boleh. Permohonan untuk PCO boleh dikemukakan seperti biasa melalui sistem ePCO di http://newepco.dagangnet.com/dnex/login/.

7. Bolehkah syarikat memohon e-Form D di bawah ASEAN Trade In Goods Agreement (ATIGA)? Bagaimana?

Boleh. Syarikat perlu klik di ruangan ASEAN Single Window (ASW) sewaktu membuat permohonan bagi memastikan e-Form D dapat dihantar secara elektronik melalui platform ASW ke negara pengimport. Sekiranya syarikat menghadapi sebarang masalah, sila e-mel kepada [email protected] dan [email protected].

8. Bolehkah syarikat memohon Lesen Import (AP) sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan?

Boleh. Permohonan boleh dibuat seperti biasa secara atas talian melalui sistem ePermit di https://newepermit.dagangnet.com.my. Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui e-mel kepada [email protected].

9. Bolehkah syarikat memohon permit di bawah Akta Perdagangan Strategik (STA) sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan?

Boleh. Permohonan permit STA boleh dibuat seperti biasa secara atas talian melalui sistem ePermit di https://newepermit.dagangnet.com.my. Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui e-mel kepada [email protected].

10. Bolehkah syarikat memproses penghantaran produk ke atau dari pasaran luar negara?

Boleh. Perkhidmatan logistik di Malaysia kekal beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X