Jumaat, 20 March 2020 | 3:06pm
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

COVID-19: Panglima ATM, KPN bincang kerjasama pertingkat kawalan pergerakan

KUALA LUMPUR: Ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjasama membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan memastikan orang awam mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasa kerajaan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata jumlah ketetapan keanggotaan bagaimanapun masih dalam peringkat perbincangan sebelum tentera dikerah pada Ahad ini.

Beliau berkata perbincangan telah dibuat bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kerjasama yang boleh diberikan pihak ATM bagi membantu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami memang sudah berbincang maka kami sudah ambil ketetapan bahawa ATM akan membantu dalam membuat rondaan bersama dan sebagainya.

“Ketiga-tiga cabang ATM (laut, udara dan darat) akan diselaraskan dalam jawatankuasa kerja mengikut kesesuaian untuk ditempatkan di seluruh negara,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Affendi, langkah itu dibuat bagi mengurangkan beban warga PDRM dalam penugasan sepanjang perintah berkenaan selain mahu melihat keberkesanannya terhadap orang awam yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dalam tempoh dua minggu ini.

Affendi juga berkata langkah yang diambil kedua-dua pasukan keselamatan ini menunjukkan semangat kerjasama yang perlu diteruskan dalam menangani apa jua krisis yang melanda negara.

“Semestinya ini akan memantapkan lagi penugasan (ATM dan PDRM) dan pada masa sama, ini adalah sebahagian daripada tugas tentera di masa aman.

Imam Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Luqman Abdul Majid mengimamkan solat Zohor berjemaah dengan jarak selamat satu meter dengan dimakmumkan bilal, Muhammad Hafiz Mohd Arif (kanan) dan Adiman Baharon (kiri) berikutan solat Jumaat tidak diadakan di seluruh negara susulan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19. - Foto BERNAMA
Imam Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Luqman Abdul Majid mengimamkan solat Zohor berjemaah dengan jarak selamat satu meter dengan dimakmumkan bilal, Muhammad Hafiz Mohd Arif (kanan) dan Adiman Baharon (kiri) berikutan solat Jumaat tidak diadakan di seluruh negara susulan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19. - Foto BERNAMA

“Bukan sahaja pada masa darurat bahkan ia sama seperti bila tentera dikerahkan semasa bencana alam seperti banjir,” katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata khidmat tentera akan mula digerakkan Ahad ini bagi membantu polis memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memastikan rakyat berada di rumah masing-masing dalam usaha membendung COVID-19.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac sehingga 31 Mac bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19. – BERNAMA


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X