Jumaat, 20 March 2020 | 3:30pm
Kakitangan hospital mengambil saringan suhu badan pelawat yang datang ke Hospital Sungai Buloh bagi mencegah jangkitan COVID-19. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Kakitangan hospital mengambil saringan suhu badan pelawat yang datang ke Hospital Sungai Buloh bagi mencegah jangkitan COVID-19. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

COVID-19: MAIS prihatin nasib petugas hospital, PKD

SHAH ALAM: Prihatin dengan nasib petugas hospital dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) di negeri ini yang bertugas menangani wabak COVID-19, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tampil menyumbangkan RM10,000 bagi tujuan pembelian makanan kepada yang terbabit.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata sumbangan itu menggunakan wang Baitulmal dan dilakukan dengan kerjasama agensi dan anak syarikat MAIS iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).

Beliau berkata, sumbangan akan dilaksanakan secepat mungkin secara berperingkat.

“Sebanyak 3,000 pek makanan kering seperti roti dan air kotak akan diuruskan LZS dan TERAS dengan kerjasama Jabatan Sosial Hospital dan PKD.

“TERAS akan menguruskan pembekalan dan pengedaran bantuan makanan kering ini terus kepada hospital dan PKD negeri ini secara berperingkat.

“Agihan bantuan makanan ini akan diutamakan kepada Hospital Sungai Buloh (HSB) memandangkan mereka (petugas hospital) menguruskan ramai pesakit COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shahir berkata, pihaknya berharap dapat meringankan beban semua pihak terutamanya barisan hadapan yang berkorban dalam menangani wabak COVID-19.

“Semoga kita semua dilindungi dan sentiasa dalam rahmat Allah,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X