Sabtu, 21 March 2020 | 12:49pm

1 wakil keluarga saja dibenarkan keluar rumah

KUALA LUMPUR: Hanya seorang wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar dari rumah sekiranya ada keperluan untuk membeli barangan keperluan atau mendapatkan ubat-ubatan.

Menteri Kanan yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata mereka yang terpaksa keluar rumah untuk urusan penting lebih daripada seorang, perlu memberi penjelasan kepada pihak polis dan polis akan menggunakan budi bicara untuk memberi kebenaran.

“Dari segi dasar, semua pihak perlu mematuhi perintah kawalan pergerakan dan keluar hanya bila perlu.

“Sekiranya terpaksa keluar, mereka perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu mencuci tangan dan mengikut penjarakan sosial (social distancing),” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat saringan COVID-19 di hospital dan klinik kerajaan atau swasta tetapi gagal mengisytiharkan bahawa mereka adalah kontak rapat kepada pesakit yang sudah disahkan positif.

“Kalau kita ikuti laporan Ketua Pengarah Kesihatan, sudah ada petugas yang berada di barisan hadapan khususnya doktor dan jururawat dijangkiti COVID-19.

“Justeru kita sarankan sesiapa yang membuat saringan di klinik atau hospital sama ada kerajaan atau swasta yang sudah ada kontak rapat dengan mereka yang didapati positif, perlu maklumkan perkara itu kepada doktor atau jururawat.

“Jika anda gagal berbuat demikian, sebenarnya polis boleh ambil tindakan mengikut undang-undang untuk tangkap dan diambil tindakan perundangan sama ada dihukum (penjara) atau denda atau sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, pekerja barisan hadapan seperti doktor dan jururawat serta petugas kesihatan lain tidak boleh dirisikokan dengan jangkitan virus berkenaan kerana ia boleh menjejaskan perkhidmatan mereka yang amat diperlukan dalam situasi sekarang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof
    Menteri Kanan yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof
    Berita Harian X