Sabtu, 21 March 2020 | 6:55pm

Zakat Selangor sedia RM15 juta untuk golongan terkesan COVID-19

KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan khas berjumlah RM15 juta bagi membantu keperluan kebajikan dan perubatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop, berkata peruntukan khas itu dikhususkan untuk golongan penjaja dan peniaga kecil serta pekerja B40 yang terjejas sumber pendapatan susulan penguatkuasaan perintah berkenaan.

Selain itu, katanya, peruntukan itu akan turut diagihkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital yang beroperasi menangani COVID-19.

“LZS juga akan menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terputus bekalan melalui peruntukan agihan khas ini.

“Golongan yang terjejas boleh memohon peruntukan ini bermula 25 Mac dengan menghubungi Talian Zakat Selangor 1300-88-4343, dari Isnin hingga Jumaat jam 10 pagi hingga jam 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Saipolyazan memaklumkan, LZS akan mempercepatkan penyaluran Bantuan Kewangan Bulanan pada 23 Mac ini kepada asnaf sedia ada yang menerima agihan bulanan, berbanding pada 25 hari bulan seperti kebiasaan, manakala agihan bantuan bulanan lain akan berjalan seperti biasa.

“LZS akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh COVID-19.

“Maklumat terkini berkaitan peruntukan khas ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran Facebook rasmi LZS,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X