Sabtu, 21 March 2020 | 8:07pm
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

Cecair pembasmi kuman boleh terbakar jika terdedah suhu tinggi

KUALA LUMPUR: Cecair pembasmi kuman atau pembersih tangan khususnya yang berasaskan alkohol tidak boleh disimpan dalam kereta kerana berpotensi untuk terbakar disebabkan suhu tinggi.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, berkata cecair itu perlu disimpan jauh dari suhu tinggi atau dielak terdedah kepada api supaya tidak mengundang bahaya.

“Bahan itu berasaskan alkohol dan ia berpotensi tinggi untuk terbakar. Atas sebab itu, jangan tinggalkan di dalam kereta dan pastikan ia disimpan jauh dari suhu tinggi dan api, ” katanya kepada BH, hari ini.

Cecair pembasmi kuman kini semakin popular dalam kalangan masyarakat dan laris di pasaran susulan penularan wabak coronavirus atau COVID-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Berdasarkan tinjauan BH baru-baru ini, kebanyakan farmasi kekurangan atau ketiadaan stok cecair pembasmi kuman akibat permintaan sangat tinggi dalam kalangan pengguna.

Laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 234,073 kes positif direkodkan sehingga kini dengan 9,840 kematian di 176 buah negara.

Di Malaysia, sebanyak lapan kematian direkodkan sehingga hari ini akibat COVID-19 dengan 153 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif di negara ini adalah sebanyak 1,183.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X