Ahad, 22 March 2020 | 6:54am

COVID-19: Jenazah korban kelapan selamat dikebumikan

RANTAU PANJANG: Jenazah korban kelapan COVID-19 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, di sini, awal pagi tadi.

Tinjauan BH di lokasi berkenaan mendapati beberapa individu dipercayai mereka yang bertanggungjawab menguruskan tempat pengebumian, menggali kubur mangsa kira-kira jam 8 malam.

Pada jam 9.46 malam, kelihatan empat kenderaan polis bersama pacuan empat roda dan kakitangan Jabatan Kesihatan tiba di lokasi perkuburan.

Bagi memastikan keselamatan awam, polis beberapa kali memberi peringatan menggunakan pembesar suara agar orang ramai tidak berkumpul di kawasan berdekatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketika itu, suasana di lokasi sunyi sepi dengan hanya dilimpahi lampu kenderaan pihak polis, selain ada kurang 10 individu dipercayai ahli keluarga arwah yang bertopeng muka dibenarkan berada di sana.

Tepat jam 11.06 malam, van jenazah tiba dan terus parkir di dalam kawasan tanah perkuburan.

Anggota polis bertugas menjaga keselamatan dan memastikan majlis pengebumian berjalan lancar Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang. - Foto Syaherah Mustafa
Anggota polis bertugas menjaga keselamatan dan memastikan majlis pengebumian berjalan lancar Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang. - Foto Syaherah Mustafa

Bagaimanapun orang ramai, termasuk media, tidak dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan hingga pengebumian selesai.

Dalam pada itu, kira-kira lima lelaki dipercayai termasuk kakitangan hospital dilihat mendengar taklimat dan memakai peralatan perlindungan diri.

Pada jam 2.55 pagi, jenazah mula dikebumikan sebelum ia selesai pada jam 3.30 pagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semalam dilaporkan berkata kes kematian kelapan COVID-19 membabitkan seorang lelaki berusia 69 tahun, juga daripada kluster tabligh dan dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac lalu susulan demam sejak 12 Mac.

Mangsa dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, pada 18 Mac lalu selepas keadaan kesihatan didapati merosot serta memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan hari, sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.00 petang semalam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Beberapa individu yang memakai peralatan perlindungan diri dilihat menguruskan pengebumian jenazah korban kelapan COVID-19 di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang. - NSTP/SYAHERAH MUSTAFA
    Beberapa individu yang memakai peralatan perlindungan diri dilihat menguruskan pengebumian jenazah korban kelapan COVID-19 di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang. - NSTP/SYAHERAH MUSTAFA
    Berita Harian X