Ahad, 22 March 2020 | 7:41am

COVID-19: Pesawat bawa rakyat Malaysia dari Iran selamat tiba

KUALA LUMPUR: Pesawat khas membawa rakyat Malaysia pulang dari Tehran, Iran yang juga antara negara paling teruk dilanda pandemik COVID-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pagi ini.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pesawat AirAsia yang disewa khusus untuk Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) digerakkan oleh Kerajaan Malaysia itu, tiba pada jam 6.35 pagi.

Petugas pelbagai agensi berkaitan bersedia untuk melakukan saringan kesihatan bagi rakyat Malaysia yang tiba dari Tehran, Iran di ADU, KLIA pagi ini. - Foto NADMA
Petugas pelbagai agensi berkaitan bersedia untuk melakukan saringan kesihatan bagi rakyat Malaysia yang tiba dari Tehran, Iran di ADU, KLIA pagi ini. - Foto NADMA

Terdahulu, media melaporkan seramai 46 individu, termasuk 10 kanak-kanak yang telah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Tehran, akan dibawa pulang dalam penerbangan khas yang berlepas dari ibu kota Iran, malam tadi.

Mereka yang dibawa pulang itu akan melalui proses saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA, sama seperti dua misi HADR dari Wuhan, China, Februari lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, dilaporkan berkata pesawat AirAsia telah berlepas ke Tehran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Iran, hasil perbincangan peringkat tertinggi antara kerajaan negara terbabit. – BERNAMA

Duta Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahya ketika bersama kumpulan rakyat Malaysia di Iran yang hendak dibawa pulang berikutan penularan COVID-19 di Iran. - Foto Kedutaan Malaysia di Iran
Duta Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahya ketika bersama kumpulan rakyat Malaysia di Iran yang hendak dibawa pulang berikutan penularan COVID-19 di Iran. - Foto Kedutaan Malaysia di Iran

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Pesawat khas membawa balik rakyat Malaysia dari Iran selamat mendarat di KLIA, 6.35 pagi - NADMA
    Pesawat khas membawa balik rakyat Malaysia dari Iran selamat mendarat di KLIA, 6.35 pagi - NADMA
    Berita Harian X