Ahad, 22 March 2020 | 2:17pm
Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

COVID-19: 50,000 anggota keselamatan, penguat kuasa pastikan pematuhan PKP

PUTRAJAYA: Pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, dilihat masih pada tahap 90 peratus, walaupun sudah memasuki hari kelima pelaksanaan di seluruh negara.

Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata untuk memastikan pematuhan dalam kalangan rakyat negara ini , kerajaan sudah menggerakkan kira-kira 50,000 anggota keselamatan termasuk polis, tentera, Jabatan Sukarelawan (RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak jam 12 tengah hari tadi.

Ismail Sabri berkata, biarpun 10 peratus yang masih enggan berbuat demikian, ia membabitkan seramai 3.2 juta rakyat negara ini yang masih ingkar dan melanggar PKP.

“Kita dapati juga banyak (penduduk) kawasan masih tidak sedar atau sengaja tidak sedar dengan larangan itu. Atas sebab itu hari ini dengan adanya tentera yang membantu polis, keadaan terkawal.

“Antara langkah yang dilaksana bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis termasuk di kawasan sekatan jalan raya. Tentera berada di situ selain melakukan rondaan di kawasan bandar dan luar bandar, kawasan hospital, mengadakan hebahan bersama polis, kawal kawasan dilihat sesak ketika ini dan mereka yang tidak mematuhi larangan seperti di pasar, pasar raya dan kawalan pintu masuk sempadan serta kawasan berisiko tinggi.

"Selain tentera, kita dapat bantuan RELA dan APM. Polis sudah memulakan pasukan bertindak yang disertai ATM dan kini RELA serta APM," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X