Ahad, 22 March 2020 | 3:39pm
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

COVID-19: Hanya polis, tentera dan RELA ada kuasa buat kawalan

KUALA LUMPUR: Hanya pasukan polis, tentera dan RELA sahaja diberi kuasa membuat rondaan dan kawalan dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu dijelaskan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe susulan tular satu klip rakaman video menunjukkan pertelingkahan antara seorang individu dengan pasukan keselamatan kampung (PKK) yang dikatakan berlaku di Kampung Changkat, Gombak, awal pagi tadi.

Menurut Arifai, tiada pihak lain berhak membuat kawalan dan rondaan sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan termasuklah PKK.

“Tiada kebenaran diberi kepada sesiapa pun untuk buat rondaan.

“Semua kena berada dalam rumah mengikut Akta 342 dibaca bersama Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah2 Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hanya polis, RELA, dan sekarang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi kuasa untuk menguatkuasakan perintah itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua pihak terbabit sudah pun membuat laporan polis dan keterangan mereka juga sudah diambil dan siasatan sedang dijalan.

Dalam klip video berdurasi enam minit 30 saat itu, kelihatan beberapa lelaki dipercayai ahli PKK memarahi lelaki yang membuat rakaman video berkenaan.

Ahli PKK itu dipercayai membuat kawalan di kampung berkenaan sebagai inisiatif membantu pihak berkuasa membuat kawalan sepanjang PKP dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung pandemik COVID-19.

Menerusi video berkenaan beberapa ahli PKK kelihatan tidak berpuashati dengan tindakan perakam yang membuat rakaman ketika diarahkan untuk beredar.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X