Ahad, 22 March 2020 | 3:54pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Foto Asyraf Hamzah
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Foto Asyraf Hamzah

COVID-19: Tiada sekatan aktiviti rantaian bekalan dan pemasaran makanan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menyekat sebarang aktiviti membabitkan rantaian bekalan dan pemasaran makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berlangsung bagi memastikan bekalan mencukupi untuk semua rakyat negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, aktiviti seperti pertanian, penternakan, perikanan dan akuakultur dibenarkan untuk terus beroperasi bagi memastikan bekalan daging, sayur-sayuran, buah-buahan serta hasil perikanan mencukupi untuk setiap orang.

Namun begitu, katanya, dalam masa yang sama kerajaan turut menetapkan syarat untuk mematuhi langkah-langkah sanitasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Selain itu, perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran makanan termasuk input-input pertanian dan makanan ternakan dibenarkan beroperasi seperti sedia kala.

“Ini bagi memastikan bekalan produk penting dan kritikal dikeluarkan oleh petani, nelayan dan penternak sampai kepada pengguna dalam tempoh masa dan dan keadaan yang sempurna,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, bagi premis dan kilang yang menyokong rantaian bekalan makanan berkaitan dan ditakrifkan sebagai kritikal turut dibenarkan beroperasi dengan tugasan pekerja di tahap minimum.

“Pihak industri juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan langkah-langkah saringan dan pencegahan wabak COVID-19 wajib dilaksanakan di peringkat syarikat demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Pemantauan Krisis COVID-19 di talian hotline 03 - 8870 1307 / 1663 / 1664 atau emel kepada [email protected].

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X