Ahad, 22 March 2020 | 5:21pm
JABATAN Kemajuan Islam (JAKIM)
JABATAN Kemajuan Islam (JAKIM)

JAKIM tubuh pasukan khas bantu uruskan jenazah mangsa COVID-19

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) menubuhkan pasukan khas pengurusan jenazah bagi membantu menguruskan mayat pesakit COVID-19 beragama Islam.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, berkata langkah itu diambil selepas melihat peningkatan jumlah kematian membabitkan pesakit yang dijangkiti COVID-19 yang dilaporkan sejak kelmarin.

“JAKIM sudah mempersiapkan pasukan khas pengurusan jenazah sebagai langkah siap siaga. Pasukan yang ditubuhkan sejak wabak ini melanda negara sudah diberi taklimat dan penerangan mengenai kaedah pengurusan jenazah secara khas berpandukan pandangan hukum yang diputuskan oleh Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020.

“MKI bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa COVID-19 menggunapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola di Malaysia.

“Pandangan ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hakimah berkata, seramai 18 petugas khas pengurusan jenazah sudah diarahkan untuk bersiap sedia, yang terdiri daripada pegawai JAKIM, pegawai dari masjid-masjid utama bawah JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan lima perempuan,” katanya.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan, seramai sembilan individu disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti wabak COVID-19 dengan lapan daripadanya beragama Islam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X