Ahad, 22 March 2020 | 5:26pm

COVID-19: Soalan lazim Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

S: Adakah, permohonan permit tidak dapat diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

J: Permohonan permit import dan eksport masih berjalan seperti biasa.

S: Bolehkah saya nak import/eksport barang pertanian dari/ke luar negara buat masa ini?

J: Ya, boleh. Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) tidak menerima sebarang arahan untuk menyekat apa-apa pengimportan dan pengeksportan barang pertanian.

S: Adakah pintu masuk negara masih beroperasi?

J: Ya, pintu masuk negara masih beroperasi seperti biasa dan pegawai MAQIS akan membuat pemeriksaan konsainan sewaktu barang tiba/keluar.

S: Sepanjang PKP, adakah permohonan permit saya tidak dapat diproses dan diluluskan oleh pegawai MAQIS?

J: Permohonan permit import dan eksport masih berjalan seperti biasa, iaitu komoditi ikan dan pertanian akan diluluskan secara ‘auto-approve’ sekiranya permohonan adalah lengkap. Bagi komoditi haiwan dan mana-mana permohonan komoditi ikan dan pertanian yang diisi secara tidak lengkap, permohonan berkenaan akan diproses secara manual oleh pegawai MAQIS yang bertugas.

S: Sebarang pertanyaan permohonan permit, di mana saya boleh ajukan?

J: Pertanyaan dan aduan boleh diajukan di [email protected] atau terus berhubung dengan pejabat operasi MAQIS di pintu masuk seluruh negara.

S: Bagaimana untuk berhubung dengan pegawai MAQIS sepanjang tempoh PKP memandangkan ibu pejabat dan pejabat negeri tidak beroperasi?

J: Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected] atau melalui talian 03-8870 8000.

S: Adakah proses kelulusan permit masih dijalankan?

J: Proses kelulusan permit masih berjalan seperti biasa. Mengikut piagam pelanggan, tempoh kelulusan permit adalah dalam tempoh 24 jam. Untuk komoditi ikan dan pertanian akan diluluskan secara auto-aprrove sekiranya permohonan lengkap dan hanya mengambil masa satu hingga tiga minit. Namun untuk komoditi haiwan akan diluluskan secara manual dalam tempoh 24 jam.

S: Adakah wujud sekatan bagi kemasukan haiwan hidup ke dalam Malaysia?

J: MAQIS masih tidak mengenakan sebarang larangan kemasukan bagi haiwan hidup ke dalam Malaysia buat masa ini.

S: Adakah MAQIS mengenakan sebarang larangan pergerakan komoditi pertanian antara yang bersempadanan dengan Malaysia?

J: MAQIS tidak mengenakan sebarang larangan pergerakan, terutama membabitkan laluan darat, udara dan laut untuk komoditi tumbuhan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma, haiwan, karkas atau daging, dan ikan. Namu, pengimport atau pengeksport perlu memohon permit import atau eksport daripada Jabatan MAQIS untuk tujuan itu melalui sistem e- permit. Namun, arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh mengatasi sebarang ketetapan pihak MAQIS.

S: Sekiranya wujud kesalahan semasa pemeriksaan konsainan di pintu masuk, adakah permohonan rayuan bagi konsainan masih diproses mengikut tempoh masa yang ditetapkan?

J: Ya, sebarang permohonan rayuan akan diberi maklum balas dalam tempoh selewat-lewatnya dua hari bekerja dan keputusan bagi permohon itu akan dimaklumkan dalam tempoh tujuh hari bekerja seperti dinyatakan dalam piagam pelanggan sedia ada.

S: Adakah aktiviti pemeriksaan konsainan masih dijalankan di pintu masuk di mana perhimpunan beramai-ramai tidak dibenarkan berikutan penyebaran wabak COVID-19?

J: Aktiviti pemeriksaan bagi pengimportan dan pengeksportan tetap diteruskan supaya barangan pertanian yang dibawa masuk atau keluar bebas daripada serangga perosak dan sebarang penyakit yang merbahaya serta memastikan bekalan makanan negara tidak terjejas. Tindakan pencegahan dan keselamatan akan diambil selaras arahan MKN dengan meminimumkan hubungan langsung antara pegawai MAQIS yang bertugas dan pengimport/pengeksport/ejen.

S: Adakah bekalan daging dan telur ayam mencukupi untuk keperluan semasa?

J: J: Pengeluaran serta bekalan daging dan telur ayam yang kebanyakannya dihasilkan secara tempatan di Malaysia adalah mencukupi untuk menampung permintaan domestik. Secara purata, pengeluaran ayam adalah antara 57 sehingga 59 juta ekor sebulan berbanding penggunaan dalam negara yang dicatatkan antara 43 sehingga 45 juta ekor sebulan. Manakala pengeluaran telur sebulan adalah sebanyak 800 juta biji berbanding penggunaan yang dicatatkan pada sekitar 620 sehingga 630 juta biji sebulan.

S: Adakah bekalan daging lembu dan daging kerbau mencukupi untuk keperluan semasa?

J: Bekalan daging lembu dan kerbau sebanyak 18,000 tan termasuk bekalan daging sejuk beku yang diimport dari negara luar seperti Australia dan India dianggarkan mencukupi untuk keperluan semasa.

S: Adakah selamat mengguna dan mengambil produk ternakan semasa COVID-19?

J: Selamat untuk mengguna dan mengambil produk ternakan kerana (Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil langkah waspada dengan menjalankan pemantauan terhadap produk haiwan yang diimport dan juga ternakan domestik bagi memastikan ia bebas dari COVID-19. Sehingga kini laporan OIE–World Organisation for Animal Health tidak menunjukkan sebarang penularan wabak COVID-19 pada ternakan.

S: Adakah ternakan di Malaysia boleh dijangkiti COVID-19?

J: Sehingga kini JPV tidak menerima sebarang aduan atau laporan berhubung haiwan ternakan tempatan yang diancam COVID-19, sejak penularan wabak penyakit ini. Setakat ini juga masih tiada bukti yang jelas berhubung penularan wabak dan jangkitan COVID-19 membabitkan haiwan ternakan.

S: Adakah kaunter Perkhidmatan Import Eksport di JPV Putrajaya, beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP?

J: Bagi urusan di Kaunter Perkhidmatan Import Eksport, JPV Putrajaya (pengambilan Sijil Kesihatan Veterinar sarang burung walit ke China dan penghantaran dokumen) dibuka pada tarikh tertentu dan masa pengambilan adalah bermula jam 9 pagi hingga jam 12 tengah hari. Hari pengambilan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) seperti berikut:

i. 18 Mac 2020 (Rabu)

ii. 20 Mac 2020 (Jumaat)

iii. 24 Mac 2020 (Selasa)

iv. 26 Mac 2020 (Khamis)

v. 31 Mac 2020 (Selasa)

S: Adakah kaunter permohonan untuk pemindahan ternakan dan sijil kesihatan di negeri beroperasi sepanjang PKP?

J: Ya, semua perkhidmatan kritikal JPV seperti kawalan penyakit, perkhidmatan pengeluaran permit pergerakan antara negeri dan pengeluaran sijil kesihatan beroperasi secara berjadual. Sila rujuk JPV terdekat untuk mendapatkan jadual perkhidmatan.

S: Adakah kaunter makanan haiwan beroperasi sepanjang PKP?

J: Ya, kaunter perkhidmatan pelesenan di bawah Akta Makanan Haiwan dibuka seperti biasa.

S: Adakah sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, siasatan terhadap aduan berkaitan kes penganiayaan haiwan diteruskan?

J: Penguatkuasaan terhadap semua peraturan, perundangan, enakmen dan akta adalah berjalan seperti biasa. Setiap aduan akan diterima oleh pegawai yang ditugaskan.

S: Adakah perkhidmatan Klinik Veterinar JPV beroperasi sepanjang PKP?

J: Klinik veterinar JPV sama seperti klinik veterinar swasta hanya beroperasi terhadap kes-kes tertentu;

- Kes-kes kecemasan seperti kemalangan dan kecederaan haiwan;

- Kes rawatan atau pemvaksinan yang temujanji yang telah dimeterai sebelum

18/Mac/2020

- Kes rawatan susulan yang telah berada di klinik/hospital (in patient).

S: Adakah klinik veterinar swasta dibenarkan beroperasi sepanjang PKP?

J: Klinik veterinar swasta hanya beroperasi terhadap kes-kes tertentu;

- Kes-kes kecemasan seperti kemalangan dan kecederaan haiwan;

- Kes rawatan atau pemvaksinan yang temujanji dimetrai sebelum 18 Mac 2020;

- Kes rawatan susulan yang telah berada di klinik / hospital (in patient);

- Boarding sedia ada (yang diterima sebelum 18 Mac 2020.

S: Adakah kedai haiwan kesayangan yang menjual makanan haiwan dibenarkan beroperasi sepanjang PKP?

J: Boleh beroperasi dengan kadar minimum dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

S: Jika ternakan atau haiwan peliharaan saya mengalami kecemasan bolehkah saya memanggil pegawai veterinar untuk datang ke ladang atau rumah saya?

J: Boleh, kerana ia termasuk dalam rawatan untuk kes kecemasan.

S: Adakah perkhidmatan rumah sembelih jabatan beroperasi sepanjang tempoh PKP?

J: Ya, kerana penyediaan makanan adalah termasuk dalam perkhidmatan kritikal. Namun, ia adalah secara berjadual.

S: Adakah wujud sekatan perjalanan untuk pemindahan ternakan bagi tujuan penyembelihan?

J: Tiada, kerana ia termasuk dalam penyediaan makanan yang menjadi sebahagian daripada perkhidmatan kritikal.

S: Sebagai penternak, jika saya ingin menghantar sampel kerana berlaku kematian ternakan ke makmal veterinar JPV, adakah perkhidmatan makmal masih beroperasi?

J: Perkhidmatan diagnostik masih berjalan dengan cekap dan disusun secara berjadual. Akan ada pegawai bertugas untuk menjalankan post-mortem dan penerimaan sampel di semua makmal JPV.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X