Ahad, 22 March 2020 | 6:22pm
Wan Rosdy (lima, kiri) bertanyakan perjalanan orang awam ketika melawat anggota PDRM dan ATM yang mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto Bernama
Wan Rosdy (lima, kiri) bertanyakan perjalanan orang awam ketika melawat anggota PDRM dan ATM yang mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto Bernama

COVID-19: 13,200 peniaga kecil di Pahang dibantu

KUANTAN: Kerajaan Pahang akan memberi bantuan kepada 13,200 peniaga kecil di seluruh daerah yang terjejas pendapatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketika ini, pihaknya sudah mengenal pasti penerima yang layak mendapat bantuan berkenaan iaitu peniaga pasar malam, pasar tani dan peniaga pekan sehari dan akan mempercepatkan bantuan berkenaan.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menyelaras bantuan dengan bantuan Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.

“Saya sudah mengarahkan bahawa mereka yang benar-benar terjejas sumber pendapatan akan menerima bantuan ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan.

Pada 19 Mac lalu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat PKP berikutan penularan wabak coronavirus (COVID-19).

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy berkata, seramai 8,000 anggota polis dan anggota tentera digerakkan di beberapa lokasi di seluruh Pahang untuk melancarkan sekatan jalan raya dan meningkatkan rondaan bagi memastikan orang ramai berada di rumah.

Katanya, di Pahang, sebanyak 37 sekatan jalan raya dilakukan dan beliau dimaklumkan bahawa semuanya berjalan lancar.

“Kehadiran tentera bersama polis menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani wabak ini dan seharusnya rakyat mematuhi arahan PKP,” katanya.

Sementara itu Abd Jalil berkata, memasuki hari kelima PKP menunjukkan bahawa antara 90 dan 95 peratus penduduk di Pahang mematuhi perintah itu.

“Sekatan jalan raya membabitkan semua laluan utama ke bandar dan kawasan tumpuan selain rondaan dan tinjauan di premis perniagaan

“Diharapkan masyarakat di seluruh Pahang terus mematuhi arahan PKP ini dengan kekal di rumah masing-masing bagi memastikan tiada peningkatan kes COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X