Ahad, 22 March 2020 | 8:58pm
KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA

Satu daripada 10 jemaah tabligh hadiri ijtimak Masjid Seri Petaling positif COVID-19

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan purata satu daripada 10 jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, dekat sini, pada akhir bulan lalu disahkan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berdasarkan sampel kira-kira 6,700 jemaah tabligh yang sudah diperiksa setakat ini, dengan 743 kes didapati positif.

Katanya, pihaknya juga mengenal pasti 11,000 daripada kira-kira 14,500 jemaah yang dikatakan hadir dalam perhimpunan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perhimpunan di Masjid Sri Petaling akhir bulan lalu turut disertai 695 peserta Indonesia, jadi pihaknya bimbang kemungkinan penularan COVID-19 datang dari luar.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pemimpin jemaah tabligh berkenaan untuk mencapai kerjasama dalam memastikan peserta yang menghadiri perhimpunan itu bersetuju menjalani saringan.

“Ia bukan bertujuan menimbulkan stigma terhadap jemaah tabligh, sebaliknya bimbang dengan penularan virus berkenaan berikutan ia turut dihadiri ahli dari pelbagai negara.

”Malaysia sudah menghampiri fasa keempat atau mitigasi, yang sangat penting kerana peluang untuk menghentikan jangkitan adalah kecil,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengesahkan maklumat bahawa 11 jemaah tabligh dari Malaysia yang menyertai perhimpunan di Sulawesi, Indonesia baru-baru ini ditahan Polis Marin Tawau di Sabah semalam.

Katanya, mereka sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dan dikuarantin serta masih menunggu keputusan lanjut.

“Pada 15 Mac lalu, saya sudah adakan pertemuan dengan pemimpin tabligh dan mereka memaklumkan kira-kira 85 orang hadir pada perhimpunan di Sulawesi itu.

“Jadi kita anggarkan dalam jumlah mungkin 80 hingga 100 orang keseluruhan rakyat negara ini menyertai himpunan berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X