X
Ahad, 22 March 2020 | 11:17pm
Tinjauan di beberapa farmasi di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati topeng muka telah kehabisan stok berikutan wabak COVID-19. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Tinjauan di beberapa farmasi di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati topeng muka telah kehabisan stok berikutan wabak COVID-19. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

COVID-19: Tiada cukai import topeng muka mulai esok

KUALA LUMPUR: Syarikat yang mengimport topeng muka ke Malaysia tidak lagi tertakluk kepada cukai import dan jualan bermula esok.

Perkara itu selari dengan pengumuman Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) yang memberikan pengecualian cukai import dan jualan topeng muka, berkuat kuasa mulai 23 Mac ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia adalah keputusan yang amat dinanti-nantikan semua pihak bagi meredakan situasi terkini dan memastikan topeng muka dijual pada harga berpatutan.

“Mereka yang mengimport topeng muka ke Malaysia tidak lagi tertakluk kepada duti import dan jualan. Ini bermakna komponen cukai tidak lagi wujud dalam penjualan topeng muka di seluruh negara.

“Realiti yang dihadapi ketika ini ialah permintaan global terhadap topeng muka meningkat secara mendadak khususnya dari negara Eropah dan Amerika Syarikat yang sedia membeli dengan harga premium.

“Ini menyebabkan negara pengeluar topeng muka terbesar dunia, China menerima tempahan luar biasa dari seluruh dunia.

Sehubungan itu, katanya, penghapusan duti import dan cukai jualan itu, diharap ia akan mengurangkan bebanan kewangan semua pihak terutama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Fecebooknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong menyifatkan tindakan beberapa pemimpin parti politik memutarbelitkan fakta kononnya kerajaan China menderma 10 juta topeng muka kepada Malaysia yang kemudian dijual dengan harga siling menerusi Pharmaniaga sebagai fitnah dan tidak boleh diterima.

Hakikatnya, Malaysia membeli topeng muka dari kilang di China kerana kilang tempatan tidak dapat memenuhi peningkatan permintaan topeng itu susulan penularan COVID-19.

“Untuk rekod, Menteri KPDNHEP (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi) melarang eksport topeng muka beberapa hari selepas menyandang jawatan menteri dan diwartakan keputusan itu.

“Kapasiti pengeluar topeng muka domestik tidak mampu menghasilkan topeng muka. Ini sebab Malaysia kena mengimport dan negara yang mempunyai bekalan ialah China walaupun harga topeng muka seluruh dunia melambung tinggi selepas penularan wabak Covid-19,” katanya.

Ka Siong berkata, pihaknya akan mencuba sedaya upaya untuk menggunakan khidmat penerbangan kargo untuk mempercepatkan perolehan topeng muka dari China ke negara ini.

Berita Harian X