Isnin, 23 March 2020 | 9:52am
AHLI Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman. - Foto Malai Rosmah Tuah
AHLI Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman. - Foto Malai Rosmah Tuah

COVID-19: Azis Jamman tak ambil gaji Ahli Parlimen

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman menyumbangkan gajinya sebagai Ahli Parlimen bagi membantu golongan terjejas pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menerusi kenyataan medianya, berkata sumbangan berkenaan membabitkan gaji beliau bulan ini dan bulan seterusnya sekiranya PKP masih dilaksanakan.

“Gaji bulan ini tidak sewajarnya saya terima disebabkan pergerakan diri juga terbatas berikutan PKP.

“Saya tidak dapat menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen termasuk melawat kampung dalam kawasan Sepanggar yang terjejas teruk ekoran penularan wabak COVID-19.

“Oleh itu, wajar sekiranya gaji saya terima diserahkan kepada rakyat yang lebih memerlukan ketika ini.

“Walaupun mungkin sumbangan ini tidak besar, namun duit yang ada kita boleh gunakan untuk membeli barangan keperluan harian dan mengagihkannya kepada individu atau keluarga terjejas,” katanya, di sini, hari ini.

Mohd Azis berkata, pihaknya turut membuka pusat khidmat Parlimen Sepanggar sebagai tempat pengumpulan bantuan makanan dan keperluan harian sekiranya ada pihak swasta, badan korporat atau individu yang mahu menyalurkan sumbangan.

Pihaknya juga sudah mengagihkan barangan makanan dan keperluan harian kepada lebih 4,000 pelajar yang tinggal di asrama membabitkan institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Sabah, dan Politeknik.

“Penghantaran bantuan makanan seterusnya akan diteruskan hari ini untuk anggota Tenetera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis yang bertugas sepanjang PKP.

“Kita juga akan memberikan bekalan makanan dan minuman kepada doktor dan jururawat yang bertugas merawat pesakit COVID-19, selain bantuan bagi golongan ibu tunggal,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X