Selasa, 24 March 2020 | 6:13pm

COVID-19: KKM gerak petugas ambil darah di rumah

KUALA LUMPUR: Petugas kesihatan akan digerakkan ke rumah dan kediaman untuk mengambil darah penderma bagi menampung kekurangan bekalan tabung darah ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggalakkan orang ramai yang ingin menderma supaya menghubungi talian hotline Kementerian Kesihatan (KKM) bagi berbuat demikian.

Beliau akui bekalan darah mengalami kekurangan namun pihaknya sudah mengawal penggunaannya khususnya untuk rawatan lain di hospital bagi mengelak penyusutan bekalan secara mendadak.

“Sekarang ini dalam Perintah Kawalan Pergerakan. Semua orang dihadkan keluar. Jadi mereka yang ingin menderma boleh hubungi kita dan petugas kesihatan akan datang ke rumah untuk ambil bekalan darah,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti 3,000 jururawat yang sudah bersara untuk kembali dipanggil bertugas bagi menampung kekurangan petugas kesihatan ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X