X
Selasa, 24 March 2020 | 8:12pm
Seorang pelanggan membaca notis penutupan operasi JPJ Selangor sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto BERNAMA
Seorang pelanggan membaca notis penutupan operasi JPJ Selangor sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto BERNAMA

COVID-19: Tidak perlu perbaharui lesen memandu sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: Pemegang lesen memandu dikecualikan daripada memperbaharui lesen sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Arahan itu berkuat kuasa esok selaras dengan Sekyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), sekali gus mengetepikan arahan meminta pemegang lesen memandu individu memperbaharui lesen secara dalam talian melalui portal mySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MyEG.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beliau menggunakan peruntukan itu setelah menyedari kesukaran orang ramai untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan dan individu, termasuklah lesen vokasional (GDL dan PSV).

Bagaimanapun, katanya pemandu tetap dinasihati membawa salinan sijil perlindungan (e-cover note insurans) ketika memandu sepanjang tempoh PKP.

” Ini bermakna, sepanjang tempoh PKP, sesiapa yang mempunyai lesen memandu yang sudah luput masih boleh menggunakan kenderaan masing-masing dengan syarat kenderaan itu wajib memiliki perlindungan insurans yang sah.

“Tetapi pemegang lesen perlu memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir,” katanya.

Berhubung LKM bagi kenderaan perdagangan dan GDL pula, beliau berkata, kementerian memutuskan isu berhubung keperluan mendapatkan kelulusan PUSPAKOM dan pemandu kenderaan perdagangan bagi memperbaharui GDL serta laporan kesihatan yang sah seperti yang diperlukan dalam syarat permohonan pembaharuan lesen, tidak lagi berbangkit.

“Ini kerana keperluan untuk memperbaharui lesen itu sudah dikecualikan sepanjang tempoh PKP. Tetapi pemilik perlu memperbaharui LKM dan tertakluk kepada keperluan dokumen kelulusan dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir,” katanya.

Ka Siong berkata, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful Malaysia.

“Perkara paling utama adalah memastikan perkhidmatan pembekalan barangan keperluan khususnya makanan kepada orang ramai tidak terjejas.

Berdasarkan rekod, jumlah pemegang lesen GDL yang akan tamat tempoh sah adalah sebanyak 328 pada 24 Mac, 385 (25 Mac), 356 (26 Mac), 357 (27 Mac), 348 (28 Mac), 315 (29 Mac) 369 (30 Mac) dan 295 (31 Mac).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X