Rabu, 25 March 2020 | 9:19am
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

COVID-19: RM100 bilion bantuan penangguhan babit institusi kewangan

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengenalan tiga langkah penangguhan membabitkan institusi kewangan dengan nilai sekurang-kurang RM100 bilion, bagi membantu rakyat berdepan kekangan ekonomi susulan penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan, pagi ini, berkata tiga langkah berkenaan ialah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan hari ini sentiasa mendengar permintaan dan denyut nadi rakyat, termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

“Saya sedar impak wabak COVID-19 bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, tetapi Perintah Kawalan Pergerakan ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

“Rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan mahupun pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka.

“Antara perkara utama yang menimbulkan keresahan ini ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini,” katanya.

Justeru mulai 1 April depan, Muhyiddin berkata, bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik hingga enam bulan kepada peminjam individu dan PKS pada masa amat mencabar kini.

Beliau berkata, langkah kedua membabitkan pemegang kad kredit yang berdepan kekangan kewangan, di mana mereka boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dengan fleksibiliti penangguhan pembayaran balik itu boleh dimanfaatkan dari 1 April hingga 31 Disember 2020.

“Sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.

“Ini penting bagi membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” katanya.

Muhyiddin berkata, jumlah nilai sekurang-kurang RM100 bilion susulan pengenalan tiga langkah terbabit adalah sangat bermakna, dan beliau amat berterima kasih atas keprihatinan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta industri perbankan di negara ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat, termasuk satu lagi pelan rangsangan ekonomi lebih komprehensif dan bermakna demi rakyat serta ekonomi negara yang akan dilancarkan tidak lama lagi sebagaimana diumumkan sebelum ini.

Katanya, beliau juga sudah meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman tiga langkah penangguhan itu dengan lebih mendalam agar manfaatnya dapat difahami sepenuh oleh rakyat.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X