Rabu, 25 March 2020 | 10:26am

COVID-19: Lanjutkan tempoh pegawai farmasi kontrak

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melanjutkan tempoh perkhidmatan semua pegawai farmasi lantikan kontrak yang dijadual berakhir pada tahun ini bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh memerangi COVID-19.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Bujang, berkata berdasarkan maklumat diterima pihaknya, kira-kira 3,500 pegawai farmasi lantikan kontrak yang sedang bertugas di semua kemudahan KKM dijangka habis kontrak bermula April hingga Disember ini.

Mengulas lanjut katanya, perkhidmatan farmasi adalah penting dan kritikal di KKM dan perlanjutan tempoh kontrak ini adalah bertepatan untuk memastikan perkhidmatan farmasi yang diberikan kepada rakyat tidak terjejas dan terus kukuh.

“Kami bimbang kesan COVID-19 ini dijangka berlarutan untuk jangka masa yang panjang justeru kerajaan perlu melakukan sesuatu terhadap pegawai farmasi sedia ada termasuk melanjutkan tempoh kontrak mereka.

“Pengalaman tiga tahun yang mereka ada adalah sangat berguna untuk KKM mendepani situasi yang tidak menentu akibat COVID-19 kepada negara dan dunia, ” katanya melalui kenyataan media, di sini.

Pada masa sama, Amrahi berkata, jenis perkhidmatan farmasi di KKM - membabitkan logistiks ubat-ubatan dan peranti perubatan, perkhidmatan farmasi untuk pesakit di wad termasuk unit rawatan rapi (ICU) dan pesakit luar khususnya yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetis, darah tinggi dan jantung, perkhidmatan khidmat kaunseling ubat termasuk di rumah pesakit.

Selain itu, katanya ia juga membabitkan perkhidmatan pendispensan aseptik terhadap pesakit yang memerlukan pemakanan melalui intravenous dan rekonstitusi ubat-ubatan untuk pesakit kanser.

Sebelum ini, kerajaan bersedia memanggil semula doktor perubatan yang sudah bersara atau pegawai perubatan yang berkhidmat dalam angkatan tentera, sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19 di negara ini.

Malah kerajaan juga sudah mengenal pasti 3,000 jururawat dan pegawai perubatan kontrak termasuk yang bersara untuk membantu KKM mendepani wabak COVID-19 di negara ini.

Sehingga semalam, sebanyak 16 kematian direkodkan di negara ini akibat COVID-19 dengan jumlah kumulatif kes ialah 1,624.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X