Rabu, 25 March 2020 | 10:41am
Masjid Seri Petaling menganjurkan ijtimak tabligh pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu. Sejak itu beberapa kes positif COVID-19 yang dikategorikan sebagai kluster tabligh sudah direkodkan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Masjid Seri Petaling menganjurkan ijtimak tabligh pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu. Sejak itu beberapa kes positif COVID-19 yang dikategorikan sebagai kluster tabligh sudah direkodkan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

6 jemaah tabligh terkandas di Nunukan, Indonesia

TAWAU: Enam jemaah tabligh Malaysia yang baru pulang daripada misi dakwah di Makassar Sulawesi, Indonesia, dilaporkan terkandas di pelabuhan Nunukan semalam.

Difahamkan semua jemaah terbabit dalam misi dakwah di wilayah berkenaan sejak 11 Mac lalu sebelum tiba di Pelabuhan Liem Hie Djung, Nunukan, untuk pulang ke Tawau melalui jalan laut.

Memetik laporan portal berita KhabarUtara.com, Ketua Pejabat Kesihatan Pelabuhan Nunukan, Dr Bahrullah berkata, selepas saringan kesihatan dijalankan semua mereka ditempatkan di pusat tahanan sementara (rusunawa).

Enam jemaah tabligh berkenaan didapati memiliki sejarah lawatan perjalanan dari Makassar, iaitu antara bandar yang menjadi wilayah yang mempunyai kes COVID-19.

“Jadi ini upaya safety (keselamatan) kita, kerana mereka datang dari lokasi yang ada kes kematian akibat wabak COVID-19, kita sediakan kemudahan sewajarnya.

“Mereka keluar dari Malaysia untuk misi dakwah sekitar 11 Mac sebagaimana maklumat (keterangan) pada pasport masing-masing, ertinya sebelum lockdown (Perintah Kawalan Pergerakan) iaitu pada 18 Mac 2020.

“Sementara ini mereka akan kita observasi (pantau) di rusunawa sampai lockdown (PKP) dibuka,” katanya.

Pada Sabtu lalu, sekumpulan 12 jemaah tabligh yang baru pulang daripada menyertai Program Ijtimak Dunia Zon Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia diiring pasukan keselamatan ketika memasuki perairan Tawau.

Kumpulan berkenaan kini ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau bagi tujuan kuarantin dan pemantauan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai tidak mendiskriminasi dan menyalahkan jemaah tabligh, sebaliknya membantu mengesan mereka serta kontak dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Berita Harian X