Rabu, 25 March 2020 | 11:31am
Suardie (kanan) dibantu anaknya, membungkus makanan keperluan asas untuk diberikan kepada golongan memerlukan terutama mereka yang bekerja dengan gaji harian yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto KHIS/Amran Hamid
Suardie (kanan) dibantu anaknya, membungkus makanan keperluan asas untuk diberikan kepada golongan memerlukan terutama mereka yang bekerja dengan gaji harian yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto KHIS/Amran Hamid

'Duit dah nak habis untuk makan'

KUBANG PASU: “Duit hanya tinggal sikit lagi. Saya sudah membuat ikan masin agar dapat makan dengan nasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” kata Suparwan Man, 67.

Suparwan adalah antara ibu tunggal yang kini terputus bekalan makanan berikutan hanya menerima gaji hari sebagai pembantu gerai menjual air.

Sudah dua minggu dia tiada sumber pendapatan selepas gerai air itu ditutup dan kini sumber makanan keperluannya juga semakin terhad.

“Gaji saya kira-kira RM25 sehari, sebelum ini memang cukup untuk saya makan tapi selepas dua minggu tak bekerja, duit simpanan semakin berkurangan.

“Masa ikan murah baru-baru ini saya beli dan jemur kering, itulah yang jadi lauk saya sekarang, saya buntu di mana saya sepatutnya mendapat bantuan,” katanya yang kematian suami enam tahun lalu.

Suparwan yang berasal dari Tanah Merah, Jitra adalah antara ribuan pekerja bergaji hari yang terjejas akibat PKP.

Bagaimanapun, sikap dermawan seorang peniaga Suairdie Johari, 40, bersama rakannya yang mengambil inisiatif mengagihkan barangan keperluan harian kepada golongan yang memerlukan di Jitra, membantu golongan terjejas seperti Suparwan.

Orang ramai terutama yang bergaji hari dan terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengambil barangan makanan keperluan asas yang disumbangkan seorang peniaga di Taman Mahsuri, Bandar Darulaman. - Foto Amran Hamid
Orang ramai terutama yang bergaji hari dan terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengambil barangan makanan keperluan asas yang disumbangkan seorang peniaga di Taman Mahsuri, Bandar Darulaman. - Foto Amran Hamid

Bantuan itu diutamakan untuk golongan ibu tunggal yang bergantung kepada pendapatan harian.

Katanya, dia menggunakan duit simpanannya hasil menjual cendol untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Beliau memperuntukkan RM2,000 bagi membeli beras, telur, minyak masak, gula, roti dan sos untuk mereka, sebanyak 140 pek saya sediakan dan mereka boleh datang ambil di rumahnya sejak kelmarin.

Bagaimanapun, beliau mengenakan syarat ketat sedikit iaitu memberi keutamaan kepada ibu tunggal yang kematian suami dan bergaji hari, ini kerana mereka lebih memerlukan.

“Sebagai komuniti penjaja di Jitra, saya menitis air mata mendengar rintihan mereka yang terputus bekalan makanan, mereka tiada arah hendak dituju.

“Jadi saya dan rakan-rakan tak sanggup lihat mereka dalam keadaan susah dan berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mahsuri, Bandar Darul Aman di sini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X