X
Rabu, 25 March 2020 | 2:11pm
Datin Rohani Ismail (kiri), Anselm Charles Fernandis (tengah) dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Datin Rohani Ismail (kiri), Anselm Charles Fernandis (tengah) dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Tujuh Hakim Mahkamah Tinggi angkat sumpah jawatan

PUTRAJAYA: Tujuh Pesuruhjaya Kehakiman disahkan ke jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dalam satu majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia yang diadakan secara tertutup di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Mereka adalah Datin Rohani Ismail, Anselm Charles Fernandis, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Datuk Mohd Radzi Harun, Datuk Aliza Sulaiman, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Dr Lim Hock Leng.

Majlis diadakan secara ringkas pada jam 10 pagi.

Pelantikan mereka sebagai Hakim Mahkamah Tinggi berkuat kuasa hari ini.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf turut hadir pada majlis itu.

Mengikut kenyataan media Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan, enam pesuruhjaya mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed manakala seorang lagi (Lim) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Rohani, 59, dilahirkan di Kedah, pernah menyandang jawatan antaranya majistret, timbalan pendaftar, hakim Mahkamah Sesyen sebelum dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 27 Mac 2017.

Fernandis, 60, dari Melaka dilantik pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada 27 Mac 2017. Beliau pernah menyandang beberapa jawatan termasuk timbalan pendakwa raya di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri.

Ahmad Fairuz, 50, berasal dari Kuala Lumpur, pernah menyandang jawatan timbalan pendakwa raya, penasihat undang-undang anak syarikat ExxonMobil di Malaysia, pengarah eksekutif bahagian pengkuatkuasaan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 30 Mac 2018.

Mohd Radzi, 65, dari Teluk Intan, Perak pernah memegang jawatan antaranya sebagai majistret, Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan, pegawai khas kepada Peguam Negara dan pengerusi Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, Kementerian Kewangan.

Beliau dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 2018.

Aliza, 53, dilahir di Kuala Lumpur, dilantik pesuruhjaya kehakiman mahkamah tinggi Kuala Lumpur pada 2018. Sebelum itu, beliau memegang jawatan peguam kanan persekutuan dan pengarah peperiksaan sijil amalan guaman, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang.

Meor Hashimi, 54, yang berasal dari Ipoh, Perak menyandang jawatan peguam persekutuan di bahagian Undang-Undang, Kementerian Pertahanan dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Melaka, timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara sebelum dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 30 Mac 2018.

Lim, 57, dari Sabah, adalah rakan kongsi di firma guaman Tetuan Guan Sing & Co, di Kota Kinabalu dari 1993 hingga 2018.

Beliau dilantik pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Sibu pada 2018. – BERNAMA

Berita Harian X