Rabu, 25 March 2020 | 4:55pm

COVID-19: MCC Bukit Aman jalan tugas 24 jam

KUALA LUMPUR: Walaupun sambutan peringatan Hari Polis ke-213 pada hari ini ditangguhkan akibat wabak COVID-19 yang melanda negara, namun tugas di Pusat Kawalan Malaysia (MCC), Bukit Aman tetap berjalan seperti biasa.

Ini bagi memantau sebarang insiden yang berlaku dalam negara secara 24 jam setiap hari.

Sebanyak empat syif kerja dilaksanakan di MCC Bukit Aman dengan diketuai oleh seorang Pengawal Pusat berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Selain itu, Mesyuarat Harian Op COVID-19 Task Force Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador atau Timbalannya, Datuk Mazlan Mansor diadakan dua kali setiap hari.

Mesyuarat itu dihadiri oleh kesemua Pengarah dan Urus Setia setiap jabatan dalam PDRM.

Sesi sidang video bersama kesemua Pesuruhjaya dan Ketua Polis Negeri turut diadakan dalam mesyuarat ini sebagai mendapatkan maklum balas terkini wabak COVID-19, dalam negara.

Bagi tugasan di lapangan, Abdul Hamid memaklumkan seramai 42,000 anggota polis dibantu 6,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan di seluruh negara bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Menurut beliau, seramai 15,000 anggota polis terbabit dalam penugasan 1,295 sekatan jalan setakat ini.

Selain itu, PDRM bersedia mengerahkan 18,000 anggota simpanannya jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara langsung, hari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X