Rabu, 25 March 2020 | 4:56pm
Sukarelawan, Dr Chan Boon Huat (kiri) bersama Chong Chuan Yit menunjukkan 'face sheild' yang dibuat di Yayasan Tzu Chi bagi kegunaan doktor dan jururawat yang merawat pesakit COVID19 di Hospital Sungai Buloh. - Foto Hairul Anuar Rahim
Sukarelawan, Dr Chan Boon Huat (kiri) bersama Chong Chuan Yit menunjukkan 'face sheild' yang dibuat di Yayasan Tzu Chi bagi kegunaan doktor dan jururawat yang merawat pesakit COVID19 di Hospital Sungai Buloh. - Foto Hairul Anuar Rahim

COVID-19: Bangunan Tzu Chi jadi 'kilang' hasilkan perlindungan muka

KUALA LUMPUR: Dalam keadaan negara menghadapi ‘kesukaran’ menangani wabak coronavirus (COVID-19), segala jenis bantuan yang boleh dihulurkan dalam meringankan golongan barisan hadapan khususnya doktor yang merawat pesakit pastinya dialu-alukan.

Badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Tzu Chi yang turut membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memerangi COVID-19 dengan menghasilkan set perlindungan muka bagi kegunaan kakitangan perubatan ketika bertugas.

Set perlindungan muka yang menggunakan bahan utama membabitkan span, plastik lutsinar dan getah elastik dibekalkan kepada kakitangan perubatan di Hospital Sungai Buloh sebagai sut perlindungan diri (PPE) sepanjang bertugas berdepan pesakit COVID-19.

Sukarelawan yayasan itu, Dr Chan Boon Huat, berkata sejak 18 Mac lalu, sudah lebih 8,000 keping perlindungan muka dihasilkan oleh hampir 300 sukarelawan setiap hari secara bergotong-royong dan kini bangunan yayasan itu kelihatan umpama sebuah kilang pembuatan set perlindungan muka.

Beliau berkata, kesempatan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digunakan sepenuhnya oleh sukarelawan yang tidak dapat keluar bekerja untuk turut sama membantu menghasilkan set perlindungan muka ini di bangunan yayasan dengan kaedah selamat seperti penjarakan sosial dan pemakaian topeng muka.

“Inisiatif ini kamu lakukan setelah mendapat maklumat bahawa penggunaan perlindungan muka ini oleh Hospital Sungai Buloh amat tinggi iaitu kira-kira 1,000 sehari dan ia hanya boleh digunakan sekali sahaja...atas sebab itu kami tampil membantu namun pada masa sama menitikberatkan aspek kesihatan.

“Pada mulanya, kakitangan hospital menunjukkan cara membuat set perlindungan muka itu dan kami mampu menghasilkannya sendiri selepas tunjuk ajar dan kini kami boleh dikatakan sudah pantas membuatnya.

“Selain Hospital Sungai Buloh, kami juga mendapat permintaan terhadap penggunaan bahan itu oleh Hospital Selayang dan beberapa klinik kesihatan di sekitar Lembah Klang...kami sedang berusaha meningkatkan produktiviti bagi memenuhi permintaan mereka,” katanya kepada BH, di sini.

Kerja menghasilkan set perlindungan muka itu dilaksanakan secara berperingkat dan dibahagikan kepada enam bahagian bermula dari jam 1 hingga 5 petang membabitkan kira-kira 150 sukarelawan pada satu-satu masa.

Pada masa sama, Dr Boon Huat berkata, sasaran mereka adalah untuk menghasilkan 40,000 set perlindungan muka dan kerja amal mereka ini akan berterusan selagi rantaian COVID-19 tidak dapat diputuskan.

Katanya, selain penghasilan set perlindungan muka, kira-kira 60 sukarelawan yayasan itu juga pada 20 Mac lalu turut mengambil inisiatif membersihkan 11 wad di Pusat Kusta Kesihatan Negara bagi menempatkan pesakit COVID-19.

“Misi kami adalah ingin membantu pihak yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa malah yayasan ini juga turut disertai kaum Melayu dan India dan kami bergerak bersama-sama...sebelum ini kami turut membantu mangsa banjir di Kelantan, ” katanya.

Sementara itu, sukarelawan yang terbabit dalam kerja pembungkusan set perlindungan muka, Ling Muh Bin, 57, berkata buat masa kini, adalah penting bagi setiap rakyat Malaysia memainkan peranan membantu KKM dalam memerangi COVID-19 dan gembira dapat menyumbang tenaga ke arah itu.

“Walaupun perjalanan ke bangunan yayasan ini yang terletak di Kepong agak jauh daripada tempat tinggalnya di Cyberjaya, namun ia sama sekali bukan penghalang untuk dirinya untuk turut sama ‘perah keringat’ membantu.

“Sepanjang perjalanan setiap hari sejak tiga hari lalu, memang ada banyak sekatan jalan raya namun kami semua dibekalkan dengan surat dari KKM dan Hospital Sungai Buloh maka boleh meneruskan perjalanan....seronok membantu daripada tidak buat apa di rumah, ” katanya yang bekerja sebagai kontraktor.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X