Rabu, 25 March 2020 | 9:53pm

Jabatan Kecemasan HTI tutup, operasi sementara di Unit Pesakit Luar

IPOH: Jabatan Kecemasan dan Wad Pemerhatian di Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan (HTI) ditutup hari ini untuk kerja pencucian dan nyah kuman.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan akan terus beroperasi di bangunan Unit Pesakit Luar buat sementara waktu.

“Hospital pada keseluruhannya masih beroperasi seperti biasa,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seramai 37 petugas kesihatan di hospital itu positif COVID-19 dan perkara itu disahkan Noor Hisham.

Mereka antara 73 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang disahkan dijangkiti COVID-19.

Selain Hospital Teluk Intan, ia membabitkan kakitangan Hospital Putrajaya, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Selayang.

Noor Hisham berkata, Hospital Teluk Intan mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dan pihaknya sudah menyelaras tenaga sumber manusia terdiri doktor dan jururawat ke hospital itu.

“Tindakan sama juga dilakukan di hospital lain yang terbabit, dengan memastikan kakitangan daripada jabatan atau hospital lain mengisi keperluan sumber manusia di bahagian terjejas,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

    Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X