Rabu, 25 March 2020 | 11:13pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan

Rakyat Kelantan digesa patuh PKP - Takiyuddin

KUALA LUMPUR: Penduduk di Kelantan digesa sentiasa mematuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini, susulan laporan portal dalam talian bertajuk ‘Rakyat Kelantan ‘degil’, polis akan ketatkan sekatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata kerjasama antara rakyat dan petugas kesihatan, polis serta tentera yang menguatkuasakan PKP mengikut Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) amat penting ketika ini.

Katanya, ia bagi memastikan langkah diambil kerajaan itu adalah tindakan berkesan dan tidak sia-sia demi menjaga nyawa rakyat.

“Saya mengingatkan bahawa pihak yang diberi kuasa mengikut undang-undang itu boleh menggunakan apa jua cara kekerasan.

“Ia bagi memastikan PKP dipatuhi selain boleh menahan, mendakwa (individu melanggar PKP) sehingga dihukum penjara atau dikenakan denda oleh mahkamah.

“Saya berharap kesabaran menghadapi tempoh getir dan mencabar ini mampu menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia daripada terus diserang COVID-19 yang amat berbahaya serta membawa maut ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X