X
Khamis, 26 March 2020 | 9:25am
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd. - NSTP/Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd. - NSTP/Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

COVID-19: Manfaat tempoh PKP untuk batalkan hasrat bercerai

KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri yang sudah memfailkan permohonan untuk bercerai atau tuntutan membubarkan perkahwinan di Mahkamah Syariah negeri ini, boleh memikirkan semula hasrat itu kerana mereka mempunyai tempoh bertenang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Ini kerana Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) menangguhkan semua prosiding perbicaraan membabitkan keseluruhan 1,000 kes membabitkan pelbagai itu termasuk perceraian dan tuntutan nafkah, selain menutup kaunter pendaftarannya sepanjang tempoh PKP yang bermula 18 Mac lalu.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata tempoh PKP itu seharusnya memberi peluang terbaik dan menjadi berita gembira buat pasangan yang sudah berniat memfailkan perceraian kerana mereka mempunyai masa yang lebih untuk tempoh bertenang.

“Saya nasihatkan pasangan yang sudah memfailkan permohonan untuk bercerai boleh mengambil inisiatif perdamaian sendiri dengan mengambil peluang dalam tempoh PKP itu.

“Ini kerana dalam tempoh PKP ini, tiada sebarang prosiding sulh dan perbicaraan. Ini peluang dan masa terbaik buat pasangan untuk memikirkan semula kaedah penyelesaian ke arah yang lebih baik bagi mempertahankan sebuah keluarga dan anak-anak dengan sama-sama memperbaiki kesilapan masing-masing.

“Tambahan pula ketika negara kita dan seluruh dunia diuji dengan wabak pandemik itu, kita harus jadikan iktibar untuk menginsafkan lagi diri kita semua,” ujar Wan Mohd Zakri yang menyatakan lebih 100 kes membabitkan tuntutan untuk bercerai sahaja dalam tempoh itu.

Beliau berkata, walaupun kes tuntutan nafkah juga terbabit dalam tempoh penangguhan ini, tetapi beliau mengingatkan tanggungjawab ibu bapa untuk membayar nafkah kepada anak tidak sama sekali tertangguh.

“Kes nafkah ini tidak tertangguh, saya harapkan ibu bapa meneruskan tanggungjawab mereka masing-masing untuk membayar nafkah anak-anak mereka walaupun belum diperintahkan Mahkamah Syariah kerana itu adalah tanggungjawab semula jadi.

“Sekiranya ibu bapa tidak melunaskan nafkah itu, ia tetap menjadi tunggakan pada bulan-bulan akan datang,” katanya.

Beliau memaklumkan prosiding kes membabitkan tarikh dalam tempoh PKP akan dibicarakan bermula 15 Mei depan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X