Khamis, 26 March 2020 | 9:38am
Anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan di premis perniagaan kawasan Kota Setar kerana beroperasi lebih masa yang ditetapkan. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan di premis perniagaan kawasan Kota Setar kerana beroperasi lebih masa yang ditetapkan. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

COVID-19: 65 premis niaga, penjaja kena notis ingkar niaga lebih waktu

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengeluarkan 64 notis dan satu kompaun kepada pemilik premis dan penjaja di sekitar daerah Kota Setar dan Pokok Sena kerana ingkar berniaga lebih dari tempoh yang dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Operasi yang bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi turut disertai pegawai dan 35 anggota Bahagian Penguatkuasa MBAS.

Timbalan Setiausaha MBAS, Mohd Rizal Mohamad Radzi, berkata pemeriksaan mendapati kesemua peniaga dan penjaja terbabit dipercayai berniaga lebih dari jam 8 malam, malah ada yang berniaga hingga 10.30 malam.

Beliau berkata, premis termasuk kedai runcit pasar mini dan kedai makan yang beroperasi lebih dari masa yang ditetapkan itu menyebabkan orang ramai mengambil peluang untuk keluar rumah dengan alasan untuk membeli barang.

“Sepatutnya orang ramai berada di rumah ketika PKP dilaksanakan bagi mengelak jangkitan Covid-19 yang turut meningkat di negeri ini termasuk di Kota Setar dan MBAS sentiasa bekerjasama dengan agensi lain termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk menangani masalah ini.

“Kami mengeluarkan notis terlebih dahulu kepada 34 premis perniagaan dan 30 penjaja di beberapa kawasan di daerah ini sebagai peringatan kepada mereka supaya menutup serta-merta perniagaan mereka dan berniaga pada waktu yang dibenarkan saja,” katanya ketika ditemui sejurus operasi tamat malam tadi.

Mohd Rizal berkata, bagaimanapun kesemua peniaga terbabit akur arahan yang diberikan dan memberi alasan tidak tahu arahan tempoh had perniagaan dikeluarkan.

Beliau berkata, arahan had perniagaan di daerah ini dikeluarkan sejak 23 Mac lalu dan pihaknya turut membuat hebahan melalui laman sosial, di pejabat MBAS dan media berhubung arahan berkenaan.

“Namun hanya satu kompaun dikeluarkan malam tadi kerana premis itu tidak patuh notis dan melakukan kesalahan.

“Kami memberi peluang kepada peniaga dengan memberi notis terlebih dahulu dan sekiranya mereka masih lagi ingkar dengan arahan berkenaan, kita akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana tidak patuh notis,” katanya.

Mohd Rizal berkata, kompaun maksimum boleh dikenakan sehingga RM500 jika didapati melakukan kesalahan di bawah akta itu.

Beliau berkata, tindakan sita juga boleh diambil sekiranya penjaja melakukan kesalahan sama dan kompaun boleh dilakukan terhadap premis yang engkar.

“Kita akan melakukan pemeriksaan dari masa ke semasa untuk membantu polis dan ATM dalam memastikan orang ramai duduk di rumah ketika PKP ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X