Khamis, 26 March 2020 | 1:37pm
 Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan). Foto/BERNAMA
Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan). Foto/BERNAMA

COVID-19: Sisa klinikal meningkat 17 peratus

KUALA LUMPUR : Penghasilan sisa klinikal seluruh negara meningkat 17 peratus sejak penularan wabak coronavirus (COVID-19), berbanding purata bulanan oleh pelbagai institusi kesihatan.

Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sistem pengurusan sisa klinikal (buangan terjadual SW404) yang diwujudkan sejak 2005 berupaya menangani semua penghasilan itu secara komprehensif dan sistematik.

Menurut beliau, di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, semua sisa klinikal akan diasingkan di hospital atau klinik, sebelum dihantar dengan kenderaan khas dan dilupuskan di 12 fasiliti insinerator seluruh negara.

“Ketika ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memberi lesen kepada tujuh syarikat khusus mengendalikan semua sisa klinikal, bermula daripada aspek kutipan, pengangkutan, rawatan dan pelupusan.

“Semua peringkat ini dilaksanakan dengan sempurna bagi memastikan tiada kesan buruk ke atas kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, kesemua syarikat terbabit dilesenkan mengikut Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tertakluk kepada syarat ditetapkan JAS.

“Syarikat dimaksudkan ialah Radicare Sdn Bhd, Edgenta Mediserve Sdn Bhd, Medivest Sdn Bhd, Sedafiat Sdn Bhd dan One Medicare Sdn Bhd, iaitu konsesi lantikan kerajaan bagi menguruskan sisa klinikal dihasilkan institusi kesihatan awam.

“Kualiti Alam Sdn Bhd dan Future NRG Sdn Bhd pula adalah dua syarikat khusus mengendalikan sisa klinikal dari institusi kesihatan swasta,” tambahnya.

Beliau memberi ingatan, pelupusan sisa klinikal secara haram adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM500,000 jika sabit kesalahan.

“Pihak kementerian akan terus melakukan pemantauan ke atas semua syarikat terbabit termasuk menggunakan sistem dalam talian, dikenali sebagai Sistem Pengurusan Buangan Berjadual Elektronik (eSWIS) bagi memastikan semua sisa klinikal diurus dengan sempurna dan sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan di bawahnya,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X