Khamis, 26 March 2020 | 5:17pm
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) ketika sidang media di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour hari ini. Turut sama, Ketua Polis Iskandar Puteri Dzulkhairi Mukhtar (kiri). - Foto BERNAMA
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) ketika sidang media di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour hari ini. Turut sama, Ketua Polis Iskandar Puteri Dzulkhairi Mukhtar (kiri). - Foto BERNAMA

COVID-19: 8 tabligh negatif, jalani tempoh kuarantin - Ayob Khan

ISKANDAR PUTERI: Lapan jemaah tabligh Malaysia daripada Himpunan Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi Indonesia, yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, hari ini, didapati negatif COVID-19.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay, berkata semua mereka sudah diarahkan bagi menjalani kuarantin selama 14 hari, selain semua lapan jemaah dari Johor itu negatif bagi saringan pertama.

Katanya, pihaknya menjangkakan 30 lagi jemaah tabligh Malaysia daripada himpunan berkenaan tiba dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, semua mereka juga wajib buat saringan dan jalani tempoh kuarantin. Tempat pendaratan yang dijangka tiba itu mungkin ada yang dari laluan Terminal Feri Antarabangsa Stulang, Stulang Laut atau Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di sini.

“Mengikut perangkaan, terdapat 1,716 jemaah tabligh direkodkan di Johor. Daripada jumlah itu, 1,704 sudah menghadiri saringan, manakala 12 jemaah tabligh belum hadir bagi membuat saringan.

“Kita lihat sudah ada tahap kerjasama dalam kalangan jemaah tabligh untuk tampil, kita harap yang baki hadir buat perkara yang sama.Kita tidak tetapkan tarikh (bila perlu buat saringan), tapi kita sudah kenal pasti dan kita akan hantar team (pasukan) untuk pujuk mereka buat saringan.

“Hari ini, kita terima lapan lagi jemaah tabligh yang balik dari laluan Makassar, Indonesia ke Puteri Harbour, Iskandar Puteri,” katanya selepas mengadakan lawatan di Balai Ketibaan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, bermula 23 Mac lalu, sehingga kini ada 36 jemaah tabligh Malaysia dari perhimpunan berkenaan yang sudah tiba.

“Mereka (jemaah tabligh) datang dari pelbagai negeri ada yang utara semenanjung, Kelantan, Selangor ada juga Johor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, ‘hotspot’ atau kawasan panas penyakit COVID-19 adalah di Batu Pahat dan Kluang.

“Kawasan hotspot ini kita tingkatkan kepada lima sekatan jalan raya, kalau tempat lain tiga sekatan jalan raya, selain kita turut tingkatkan lagi rondaan MPV bagi memastikan tahap kepatuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu pada tahap maksimum,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X