Khamis, 26 March 2020 | 5:50pm

COVID-19 Perkhidmatan kesihatan ibu hamil masih diteruskan

PUTRAJAYA: Perkhidmatan Perkhidmatan Kesihatan Ibu Hamil dan Anak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih berjalan seperti biasa, walaupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan coronavirus (COVID-19), sedang dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata anggota kesihatan juga akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah terhadap ibu yang baharu bersalin untuk memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat.

"Bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan, bolehlah mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan atau klinik swasta berdekatan.

"Justeru, ibu hamil diminta untuk menjalani pemeriksaan mengikut tarikh temujanji yang diberikan," katanya pada sidang media harian, di KKM hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga meneruskan perkhidmatan imunisasi terhadap bayi dan kanak-kanak seperti biasa manakala ibu bapa diminta untuk mematuhi jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang ditetapkan.

Beliau berkata, KKM juga mengingatkan kepentingan ibubapa untuk mematuhi jadual imunisasi kanak-kanak bagi mencegah terjadinya

kejadian wabak penyakit cegahan vaksin (vaccine preventable diseases).

"Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi klinik kesihatan yang berdekatan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X