Khamis, 26 March 2020 | 6:33pm
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) bersama peserta Program Taklimat Khas Kepada Petugas Khas Bagi Pengurusan Jenazah COVID-19 Dengan Kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Mufti Selangor. - Foto STR/Faiz Anuar
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) bersama peserta Program Taklimat Khas Kepada Petugas Khas Bagi Pengurusan Jenazah COVID-19 Dengan Kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Mufti Selangor. - Foto STR/Faiz Anuar

COVID-19: Keluarga boleh buat solat jenazah ghaib

SHAH ALAM: Solat jenazah ghaib boleh dilakukan oleh keluarga atau kenalan jenazah yang meninggal dunia akibat dijangkiti wabak COVID-19.

Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, berkata oleh kerana sukar untuk berkumpul serta melaksanakan solat jenazah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ahli keluarga dan kenalan mangsa boleh melakukan sendiri di rumah masing-masing.

“Bagi ahli keluarga yang tidak boleh turut serta menguruskan jenazah, tiada halangan untuk mereka mengambil hukum solat jenazah secara ghaib tapi syaratnya kita dapat maklumat jenazah sudah dimandi dan dikafankan.

“Sama ada sudah dikebumikan atau tidak, ia tidak menjadi masalah dan kita tetap boleh melakukannya walaupun jenazah sudah seminggu meninggal dunia dengan syarat kita baharu mengetahui tentang kematiannya,” katanya ditemui pada Sesi Taklimat Pengurusan Jenazah COVID-19, anjuran JAIS di Dewan Syarahan dan Muzakarah di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad.

Anhar berkata, tatacara solat jenazah ghaib adalah sama seperti solat jenazah biasa cuma ia berbeza pada niat yang mana ghaib bermaksud, jenazah tiada di hadapan kita.

Dalam situasi PKP, ia boleh dilaksanakan dalam jumlah yang sedikit dan tidak ada masalah jika dijarakkan satu meter akan jemaah.

Sementara itu, JAIS menubuhkan satu pasukan khas pengurusan jenazah mangsa COVID-19 untuk membantu masyarakat setempat serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mohd Shahzihan berkata, pasukan terdiri daripada 35 pengendali jenazah berpengalaman termasuk empat wanita itu akan bekerjasama rapat dengan polis bagi menguruskan kes kematian di rumah yang dikhuatiri ada kaitan dengan jangkitan COVID-19.

“Walaupun pada masa ini KKM masih mampu untuk menguruskan jenazah mangsa COVID-19 di hospital, kita khuatir sekiranya wabak terus merebak kerana sekarang ini pun trend jangkitan dan kematian dilihat meningkat.

Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan pasukan khas itu, JAIS memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi membeli peralatan perubatan yang perlu digunakan dalam menguruskan jenazah mangsa COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X