Khamis, 26 March 2020 | 8:01pm
Mendiang Moses.
Mendiang Moses.

Perintis pengedaran akhbar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Seorang perintis industri pengedaran akhbar, termasuk akhbar kumpulan The New Straits Press (M) Berhad (NSTP), Moses Edwin Gnanapragasam meninggal dunia semalam.

Edwin, 65, yang mengabdikan diri selama 47 tahun dalam industri pengedaran akhbar, meninggal dunia di Hospital Selayang, kira-kira jam 2.30 pagi akibat komplikasi kesihatan.

Beliau dimasukkan ke hospital selama kira-kira seminggu (akibat jangkitan paru-paru) dan sejak itu keadaannya semakin merosot.

Edwin meninggalkan isteri, T Marry Malathi dan sepasang anak lelaki dan perempuan.

Anak lelaki beliau mewarisi perniagaan bapanya beberapa tahun lalu.

Beliau mendedikasikan kehidupannya dengan memastikan setiap akhbar yang diedarkannya sampai kepada pembaca setiap hari dan hanya berehat ketika perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

Edwin mula bekerja sebagai pengedar akhbar pada usia 19 tahun kerana tertarik dengan tawaran kerja itu kerana akan membolehkan beliau memiliki motosikal.

“Itulah faktor yang menjadi tarikan pada saya pada usia itu. Memiliki motosikal adalah perkara besar dalam hidup saya, yang pasti saya berada dalam industri ini lebih lama daripada saya bayangkan,” katanya kepada New Straits Times (NST) ketika ditemubual, tahun lalu.

Dalam temubual itu, Edwin berkata selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau memberitahu bapanya yang dia mahu bekerja dan bapanya menyenaraikan beberapa pilihan, salah satunya menjadi vendor akhbar.

Bapanya berkata, jika mahu menjadi seorang vendor akhbar, beliau perlu mempunyai motosikal sendiri.

“Saya tahu ia pekerjaan yang tepat untuk saya. Bapa membelikan saya motosikal Honda C70 dan saya mula bekerja pada Februari 1972,” katanya.

Ketika itu, Edwin mampu menjual 230 naskhah akhbar setiap hari dan memperoleh pendapatan kira-kira RM200 sebulan.

Dalam tempoh 10 tahun, jualannya meningkat kepada 1,000 naskhah sehari dan perniagaan berkembang.

Beliau adalah antara pelopor dalam industri pengedaran akhbar dan akhirnya berupaya memiliki syarikat pengedaran sendiri.

Antara keupayaan beliau ialah menguasai pasaran pengedaran akhbar di Putrajaya selepas diumumkan sebagai pusat pentadbiran kerajaan termasuk di Jabatan Perdana Menteri.

Majlis pengebumiannya akan diadakan esok di Taman Selayang Baru.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X