Khamis, 26 March 2020 | 8:10pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19 : Kakitangan KKM, pekerja pembersihan HTI wajib jalan saringan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan semua anggota kesihatan termasuk pekerja pembersihan yang berkhidmat di Hospital Teluk Intan (HTI) di Perak, menjalani saringan COVID-19 selepas 39 petugas kesihatannya dijangkiti wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kakitangan termasuk unit sokongan perlu akur dengan keputusan itu dan tiada lagi isu timbul seperti syarikat pembersihan melarang pekerjanya disaring.

“Semalam kita sudah tutup wad di hospital berkenaan selepas 37 kakitangannya positif COVID-19 dan unit kecemasan berkenaan terpaksa berfungsi di bangunan lain.

“Jadi semua kakitangan termasuk unit sokongan akan disaring. Kita ingin pastikan semua yang bekerja di hospital berkenaan jalani saringan dan itu keputusan kementerian,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Semalam media melaporkan Jabatan Kecemasan dan wad pemerhatian HTI ditutup sementara untuk proses pembersihan dan penyahkuman selepas 37 petugas kesihatan di hospital itu COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata pihaknya sudah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) kepada kakitangan dan jururawat hospital serta klinik swasta bagi mengendalikan pesakit COVID-19.

“Pada mulanya apabila ada kes COVID-19 dikesan di hospital atau klinik swasta, ia akan terus dirujuk kepada pihak hospital kerajaan. Namun, mungkin satu masa nanti pusat perubatan swasta terpaksa menggunakan Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital masing-masing kerana di hospital awam sudah penuh.

“Pihak swasta perlu merawat pesakit mereka di hospital masing-masing. Mereka juga mempunyai kemudahan yang cukup dan setakat ini kita sudah adakan mesyuarat dengan dua pihak swasta.

“Kita tekankan kepada mereka mengenai kepentingan serta langkah pencegahan dari dijangkiti COVID-19. Malah, kita juga memastikan kakitangan mereka dilatih sepenuhnya bagi mengendalikan kes berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X