Khamis, 26 March 2020 | 10:59pm
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik. - Foto NSTP
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik. - Foto NSTP

Penduduk Simpang Renggam kekal tenang, patuhi arahan - Dr Maszlee

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik meminta 3,570 penduduk daripada 650 keluarga di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) supaya sentiasa bertenang.

Maszlee berkata, penduduk di dua kawasan penempatan itu juga perlu sentiasa mematuhi dan mengikuti arahan pihak berkuasa untuk kekal berada dalam rumah sepanjang perintah berkenaan berkuat kuasa sehingga 9 April ini.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membekalkan makanan asas yang mencukupi kepada penduduk di dua kawasan terbabit sepanjang PKPD.

“Pejabat Parlimen Simpang Renggam juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak COVID-19 berjaya dikekang sepenuhnya.

“Di pihak Pejabat Parlimen, kami akan sentiasa memaklumkan dan mengemaskini info serta bantuan yang boleh disalurkan. Hubungi talian Pejabat Parlimen Simpang Renggam ini untuk sebarang aduan atau info di 010-235 0151.

“Saya turut memohon rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan seluruh penduduk Simpang Renggam dan petugas dalam mengharungi masa yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan susulan jumlah jangkitan positif COVID-19 yang tinggi di daerah Kluang.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 83 kes positif COVID-19 di Kluang dan daripada jumlah itu, 61 kes adalah dari Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid.

"Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga. Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini hingga 9 April ini." katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X