Jumaat, 27 March 2020 | 11:09am
Sekatan jalan raya dan kawalan serta pemeriksaan polis yang kini mengawal kawasan Kampung dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor malam tadi. - Foto Adnan Ibrahim
Sekatan jalan raya dan kawalan serta pemeriksaan polis yang kini mengawal kawasan Kampung dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor malam tadi. - Foto Adnan Ibrahim

Pintu keluar masuk Simpang Renggam dikawal ketat

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengarahkan semua akses keluar masuk jalan raya di Simpang Renggam diperketatkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang membabitkan dua kampung di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata langkah tegas itu diambil bagi mengelak penularan wabak COVID-19 di kawasan itu menjadi tidak terkawal.

Katanya, tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan berkenaan.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan segera sepanjang tempoh 14 hari PKPD di kawasan dua kampung itu.

“Dengan pelaksanaan PKPD ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM)dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan memperketatkan kawalan di semua jalan utama dengan mengadakan sekatan jalan raya di semua akses masuk dan keluar terutamanya di jalan utama Simpang Renggam-Benut dan Simpang Renggam-Kluang di kedua-dua hala.

“Pelaksanaan pemantauan rumah (home surveillance) akan dilaksanakan dengan lebih tegas di dua kampung terjejas dengan pengawasan ketat oleh anggota pasukan keselamatan.

“Semua penduduk tempatan dan pelawat yang sudah berada di kawasan terjejas tidak dibenarkan keluar rumah atau kawasan terjejas sepanjang tempoh ini, malah bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

“Bagi keperluan makanan penduduk terjejas pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjadi penyelaras bantuan makanan dan keperluan asas yang akan dipantau sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam tadi dilaporkan mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam ini, selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.

Dua kawasan itu membabitkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga di dua kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, Medical Base juga akan diwujudkan di balai raya kampung terjejas merangkumi kemudahan fasiliti pengesanan Active Case Detection (ACD).

“Semua aktiviti perniagaan diarah dihentikan serta-merta manakala masjid dan surau akan ditutup sepenuhnya,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X