Jumaat, 27 March 2020 | 4:09pm
Tambahan dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS sebanyak RM3 bilion. - Foto hiasan
Tambahan dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS sebanyak RM3 bilion. - Foto hiasan

Dana tambahan RM4.5 bilion untuk PKS

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion dengan lima inisiatif.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, inisiatif pertama membabitkan tambahan dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion.

Selain itu, katanya kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus.

Inisiatif kedua, kata Perdana Menteri adalah peningkatan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

Muhyiddin berkata, inisiatif ketiga adalah penyediaan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

“Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan menawarkan kadar faedah dua peratus sahaja tanpa cagaran. Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi.

“Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan. Inisiatif ini adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.

Perdana Menteri berkata, inisiatif keempat pula menyaksikan PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Inisiatif kelima, katanya Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

“Menerusi inisiatif-inisiatif ini, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) hari ini.

Berita Harian X