Jumaat, 27 March 2020 | 6:34pm
Ronald pada sidang media selepas mesyuarat bersama pihak industri di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ronald pada sidang media selepas mesyuarat bersama pihak industri di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Cadang pasar tani, pagi dibuka semula

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mencadangkan kepada jawatankuasa khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya pasar pagi dan pasar tani di negara ini dibuka semula bagi menangani lambakan hasil pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata perkara itu akan dibawa ke majlis mesyuarat jawatankuasa PKP, esok.

Katanya, penutupan pasar pagi dan pasar tani itu menyebabkan lambakan barang basah, sayuran dan ikan tidak dapat dipasarkan kerana hanya pasar raya yang dibenarkan beroperasi.

"Kita harap cadangan ini diterima supaya tidak berlaku lambakan hasil pertanian dan mengakibatkan kerugian kepada pengusaha," katanya pada sidang media selepas mengadakan seisi dialog bersama pihak industri.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Ronald berkata, cadangan yang akan dibawa ke mesyuarat esok bagi membenarkan 37 pasar tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) beroperasi semula.

Katanya, pada masa ini, tiga MyFarm Outlet FAMA masih beroperasi iaitu di Putrajaya, Chendering (Terengganu) dan Bagan Datoh (Perak), namun tidak kesemua peniaga dibenar beroperasi.

Katanya, jika cadangan itu diterima kementerian akan bekerjasama dengan FAMA bagi meletakkan kakitangan di pasar tani bagi mengawal orang ramai mematuhi jarak sosial dan mematuhi arahan PKP.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan masalah pengusaha sayuran di Cameron Highlands yang tidak dapat dibawa turun dan nelayan di Hutan Melintang, Perak diselesaikan.

Beliau turut memberi jaminan bekalan barangan makanan mencukupi dan berada di tahap stabil.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X