Sabtu, 28 March 2020 | 3:02pm

COVID-19: Operasi nyah cemar seluruh negara Isnin ini

KUALA LUMPUR: Operasi nyah cemar bagi menghalang penularan COVID-19 akan dilaksana di seluruh negara Isnin ini, dengan tumpuan utama di kawasan awam sebelum diperluas ke tempat kediaman dan pejabat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dipertanggungjawabkan melaksana tugas ini menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Proses nyah cemar di seluruh negara menerusi PBT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan bermula 30 Mac ini yang akan menumpukan kawasan berisiko tinggi.

“Malah KPKT akan buat dari rumah ke rumah di kawasan PPR. Kita setuju proses dijalankan serentak seluruh negara.

“PBT di daerah mesti menjalankan proses nyah cemar di kawasan masing-masing. Keutamaan dimulakan di kawasan awam sebelum rumah ke rumah,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, ketika ini dua kawasan di Kluang dan Simpang Renggam sedang melaksana operasi itu berikutan peningkatan kes COVID-19 sehingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana.

“Operasi nyah cemar sudah dilaksana sejak 23 Mac. Sehingga semalam sebanyak 11 operasi dilakukan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), membabitkan 11 pasar dan diteruskan di Masjid Seri Petaling,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X