Ahad, 29 March 2020 | 6:38pm
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sabah terima 170,000 kotak topeng muka, PPE dari China

KOTA KINABALU: Sabah hari ini, menerima bantuan 170,000 kotak topeng muka, cecair pembasmi kuman dan peralatan perlindungan diri (PPE), sumbangan kerajaan China untuk membantu menangani penularan COVID-19 di negeri ini.

Bantuan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 3.15 petang tadi dengan menggunakan penerbangan sewa khas, AirAsia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sumbangan itu menggambarkan kerjasama di antara kerajaan Sabah bersama Konsulat China di negeri ini.

“Sumbangan yang diterima ini juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Ia termasuklah bantuan kepakaran yang kita minta daripada republik sama, supaya boleh membimbing dan melatih semua petugas perubatan seperti doktor serta jururawat yang ada bagi menangani wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan ketibaan peralatan perubatan terbabit di terminal dua, KKIA hari ini.

Yang turut hadir ialah Konsul Jeneral China ke Sabah, Liang Caide.

Mengenai penularan COVID-19 di Sabah, Mohd Shafie berkata ia masih terkawal membabitkan 197 kes positif setakat semalam, dengan satu kematian dilaporkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti pendekatan khusus untuk membendung COVID-19 dan kerjasama antara polis, tentera dan RELA turut diperketat khususnya untuk mengawal pergerakan rakyat.

“Kita melihat kemudahan yang boleh diperoleh dalam negara, selain cecair basmi kuman serta pakaian kegunaan perubatan yang boleh diperoleh daripada China.

“Jika inisiatif ini dapat dilaksanakan, kita dapat membantu anggota barisan hadapan di hospital untuk mempunyai perlindungan diri,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X