Ahad, 29 March 2020 | 10:44pm

COVID-19: MERCY Malaysia hantar 112 sukarelawan perubatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) sedang membuat persiapan untuk menghantar 112 sukarelawan bagi membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 Kementerian Kesihatan.

Pengurus Besar Operasi Program MERCY Malaysia, Said Alhudzari Ibrahim, berkata sukarelawan membabitkan 100 petugas perubatan akan dihantar ke Kluang, Johor, manakala 12 lagi ke Setiu dan Kuala Terengganu, Terengganu.

“Semua sukarelawan akan dihantar itu adalah petugas perubatan bertauliah, termasuk doktor, penolong pegawai kesihatan, jururawat dan inspektor kesihatan.

“Penaja sukarelawan MERCY Malaysia ialah Yayasan Sime Darby, Kumpulan Maybank dan Maybank Heart yang membiayai kos pengangkutan, penginapan, makanan, peralatan perlindungan diri (PPE) serta pakaian seragam,” katanya kepada BH, hari ini.

Kementerian Kesihatan hari ini dilapor mengalu-alukan bantuan perkhidmatan sukarelawan kesihatan dan perubatan dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hingga kini, seramai 157 orang menyertai barisan sukarelawan yang ditempatkan secara berperingkat untuk membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19.

Mengulas lanjut, Said Alhudzari berkata, MERCY Malaysia mula menghulurkan bantuan petugas perubatan kepada Kementerian Kesihatan serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

“Seramai 24 sukarelawan membantu menjalankan saringan sejak 20 Mac lalu bagi meringankan beban petugas di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, manakala tiga lagi di Klinik Kesihatan sekitar Lembah Klang.

“Sembilan petugas perubatan pula mula membantu CPRC sejak 23 Mac lalu untuk menjalankan saringan dan mengambil sampel pesakit bawah pengawasan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X