Selasa, 31 March 2020 | 12:17pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

COVID-19: Rakyat penentu kejayaan sekat penularan

KUALA LUMPUR: Rakyat adalah penentu utama dalam menghentikan pandemik COVID-19 ketika negara menghadapi krisis wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setiap rakyat mempunyai peranan dalam memerangi penularan pandemik COVID-19 dengan mematuhi perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di rumah masing-masing.

Katanya, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam meratakan lekuk penularan COVID-19 bagi membolehkan sistem kesihatan lebih banyak masa dan kapasiti untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan mereka.

“Walaupun situasi semasa ini adalah suatu pengalaman yang baharu, sektor kesihatan sudah merancang dan bersiapsiaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Dengan pembabitan petugas daripada semua peringkat, kami melakukan yang terbaik demi memastikan keselamatan semua pihak. Sememangnya kesihatan anda tetap menjadi keutamaan kami,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang sudah menunjukkan iltizam tinggi dan berusaha sebaik mungkin memerangi pandemik COVID-19.

Katanya, ramai petugas yang meninggalkan orang tersayang di rumah dan mengorbankan masa dan keselesaan untuk berada di barisan hadapan demi merawat pesakit.

“Kementerian menghargai setiap satu daripada anda dan segala kudrat yang sudah serta sedang anda curahkan setiap hari.

“Dedikasi dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh setiap petugas kesihatan dalam menghadapi pandemik yang luar biasa ini sememangnya menakjubkan. Terima kasih kepada anda semua,” katanya merujuk pekada petugas barisan depan dalam mendepani krisis itu.

Sementara itu, Noor Hisham turut menyatakan rasa terharu beliau menyaksikan kemurahan hati setiap individu dan organisasi sama ada kecil atau besar yang sudah menyumbang kepada petugas barisan hadapan.

“Bagi pihak petugas di barisan hadapan, saya ucapkan terima kasih,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X