Selasa, 31 March 2020 | 10:36pm

KPWKM mohon maaf poster kurang sopan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon maaf kerana memuatnaik poster yang dikritik sebagai seksis.

Poster itu dikritik hebat kerana menyarankan wanita beraksi menggoda meminta pasangannya membantu melakukan kerja di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Datuk Saidatu Akhma Hassan, berkata pihaknya memohon maaf jika poster dipaparkan tidak bersesuaian dan menyentuh sensitiviti golongan tertentu dan berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Kami mengambil maklum balas berhubung beberapa panduan untuk wanita yang dipromosikan semasa dalam tempoh PKP melalui poster yang disiarkan di media sosial kami.

“Pendekatan digunakan adalah untuk berkongsi kaedah dan amalan mengekalkan hubungan yang positif dalam keluarga dan ketika dalam fasa bekerja dari rumah.

“Pihak kami menghebahkan panduan harian dan mesej positif dalam media sosial dengan kempen #wanitacegahcovid19 merangkumi pelbagai tema dengan matlamat untuk berkongsi maklumat kepada golongan wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, poster itu memaparkan panduan duduk rumah bersama keluarga adalah antara amalan positif yang boleh diamalkan orang ramai dalam tempoh PKP.

Justeru, KPWKM menyediakan poster yang dimuat naik di laman sosial bertujuan memberi panduan berguna khusus untuk wanita.

Poster itu membawa mesej bagaimana untuk wanita praktikkan apabila mereka menjalani fasa bekerja dari rumah.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia menentang poster berkenaan Kebahagiaan Rumah Tangga dan meminta menterinya, Datuk Seri Rina Harun menarik balik poster itu.

Berita Harian X