Selasa, 31 March 2020 | 10:52pm

KKM siasat jemaah tabligh Malaysia ke New Delhi

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat dakwaan mengenai ada rakyat Malaysia yang dikatakan menyertai perhimpunan tabligh di New Delhi, di India, awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada rakan sejawat di negara itu.

“Kami sedang menyiasat kerana bukan saja di India, tetapi juga ada perhimpunan sama di Sulawesi sebelum ini.

“Sudah tentu, ia berisiko tinggi jika mereka menghadiri perhimpunan seperti ini,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan sedang mencari 87 rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di Sulawesi dengan bantuan pihak polis.

Berhubung, sama ada mereka yang balik dari New Delhi dikesan positif COVID-19 atau sebaliknya, Dr Noor Hisham berkata, ia masih dalam siasatan.

Postal Berita Times of India sebelum ini melaporkan bahawa sejak dua hari lalu polis India mendapati 281 warga asing, termasuk 20 rakyat Malaysia, yang tinggal di ibu pejabat gerakan Tablighi Jamaat di kawasan kejiranan Nizamuddin New Delhi.

Menurut laporan itu, peserta warga asing dari 16 negara, termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand, antara sebahagian kecil daripada anggaran 8,000 peserta keseluruhan untuk perhimpunan yang berlangsung selama dua hari dari 8 hingga 10 Mac lalu.

Dari keseluruhan jumlah peserta itu, dilaporkan bahawa 30 peserta setakat ini positif COVID-19 dan sekurang-kurangnya tiga kematian dikaitkan dengan kluster perhimpunan itu.

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri India yang tidak dinamakan dilaporkan berkata, bahawa kebanyakan warga asing berkenaan kemungkinan disenarai hitam dari memasuki negara itu selepas ini.

Sementara itu, diminta mengulas kenyataan Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang tadi mengenai semua rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini dari luar negara sama ada melalui penerbangan sewa khas atau komersial akan dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang dikhaskan, Dr Noor Hisham berkata, ada sebanyak 334 pusat kuarantin dikenal pasti di seluruh negara untuk tujuan itu.

Katanya, pihaknya juga sedang melihat tahap kepatuhan kuarantin di rumah yang kemungkinan kurang iaitu antara 75 hingga 80 peratus.

Beliau berkata, ia berikutan ada individu yang perlu menjalani kuarantin di rumah didapati keluar dari kediaman.

Justeru, katanya, untuk memastikan pematuhan perintah kuarantin, ia perlu diadakan di pusat kuarantin yang dikhaskan untuk tempoh 14 hari.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X