Rabu, 1 April 2020 | 10:09am
PENGARAH Eksekutif MABIC, Dr A Mahaletchumy. - Foto Sairien Nafis
PENGARAH Eksekutif MABIC, Dr A Mahaletchumy. - Foto Sairien Nafis

COVID-19: MABIC lancar platform maya bantu salur maklumat

KUALA LUMPUR: Pusat Informasi Bioteknologi Malaysia (MABIC), hari ini, melancarkan Pusat Sains Media (SMC) Malaysia bagi membantu menyalurkan maklumat dan menyokong liputan media mengenai isu COVID-19 yang kini sedang melanda dunia.

Pengarah Eksekutifnya, Dr A Mahaletchumy, berkata SMC adalah platform maya yang menghubungkan wartawan dengan saintis untuk ditemuramah daripada pelbagai aspek penyelidikan menerusi pangkalan data saintisnya.

Katanya, platfrom itu adalah penting bagi menjadi penghubung antara komuniti saintis dan wartawan untuk memastikan ilmu sains sampai kepada orang awam tanpa dicemari maklumat tidak tepat.

“SMC Malaysia mengalu-alukan komuniti sains menggunakan platform ini untuk berkongsi kepakaran masing-masing dalam isu berkaitan sains selain menjadi pengantara bagi menghubungkan saintis dan pengamal media.”

“Jaringan wartawan-saintis SMC ini juga berharap dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti laporan media mengenai topik sains, sekali gus menghubungkan orang awam dengan pengetahuan sains,” katanya.

Tambahnya lagi, platform media atas talian itu juga diasaskan bersama bekas wartawan penyiaran Astro AWANI, Tan Su Lin.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha berkenaan akan mendapat sokongan daripada komuniti sains termasuk saintis, institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan dan agensi kerajaan dalam meningkatkan komunikasi dan literasi sains di negara ini.

Sementara itu, Su Lin, berkata beliau memahami cabaran yang diharungi pengamal media dalam mendapatkan maklumat secara pantas dan tepat mengenai isu dan reaksi daripada pakar sains.

“Ketika ini terdapat banyak maklumat tidak tepat mengenai COVID-19 terutamanya dalam media sosial.

“Kami ingin membantu menyebarkan maklumat yang tepat tentang risiko jangkitan virus itu dengan menangani maklumat yang tidak sah dengan fakta sains dan ini dilakukan menerusi liputan media,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X